Tiada nama yang lebih banyak mengukir kegemilangan bersama Liverpool FC selain Bob Paisley.
44 tahun beliau mengabdikan diri untuk kelab Merseyside itu, bermula sebagai pemain, physiotherapist, jurulatih sehinggalah menjadi seorang pengurus yang paling berjaya dalam sejarah The Reds.
Beliau berjaya memimpin LFC untuk mengungguli enam kejuaraan Divisyen Satu, tiga Piala Liga, enam Perisai Kebajikan FA (sebelum Perisai Komuniti), serta tiga Piala Eropah (sebelum Liga Juara-Juara Eropah), satu Piala UEFA dan satu Piala Super UEFA. Liverpool berada di puncak dunia sepanjang hampir 10 tahun di bawah kemudinya.
Tanggal 23 Januari 2019 tempoh hari, genaplah usia kelahiran Robert Paisley, OBE mencecah 100 tahun. Walaupun beliau telah pergi 23 tahun lepas, namanya terus mekar di bibir para penyokong terutamanya yang sempat menyaksikan kelibat beliau di tepi padang keramat Anfield.
Kisahnya diceritakan dari generasi ke generasi, dan legasinya terus menjadi inspirasi.
Bob Paisley, pengurus LFC paling berjaya sepanjang zaman. |
Bersempena itu, Standard Chartered sebagai penaja utama LFC melancarkan satu kempen global meraikan ulang tahun kelahiran Bob Paisley yang ke-100 iaitu 'Project Stand Red.'
Dalam kempen ini, Bob Paisley 'dihidupkan semula' menggunakan teknologi Pengimejan Buatan (Artificial Imagery, AI), Pengimejan Janaan Komputer (Computer Generated Imagery, CGI) dan Modulasi Suara, hasil kerjasama rapat Standard Chartered dengan tiga anak Bob Paisley.
Animasi fizikal dan suara Bob Paisley dijelmakan dengan teknologi terkini. |
"Di Standard Chartered, kami cuba menggunakan teknologi untuk membawakan yang terbaik untuk perhubungan antara manusia.
"Apa lagi cara terbaik untuk memelihara legasi Bob Paisley bersama Liverpool Football Club selain daripada memperkenalkan beliau kepada seluruh generasi baharu penyokong (kelab ini)," kata Benjamin Hung, CEO Serantau Greater China & Asia Utara Standard Chartered.
Sementara itu, anak lelaki Bob Paisley, Graham Paisley sangat berpuas hati dengan hasil kerjasama mereka.
"Cucu saya tidak pernah berpeluang untuk bertemu Ayah (Bob) secara peribadi, jadi ini cara yang baik untuk menunjukkan kepada mereka siapa dia di mata orang ramai," katanya.
100 jurnalis dari seluruh dunia dipilih (termasuk kami, YEAH!) untuk menerima kit media khas yang mengandungi jersi home LFC 2019/2020 yang dicetak autograf ikonik Bob Paisley pada bahagian tengkuknya.
Kotak kit media itu juga ada video istimewa yang belum pernah ditayang di mana-mana lagi, memaparkan Bob Paisley kembali ke Anfield pada 2019 bertemu dengan legenda dan bekas pemain yang pernah berkhidmat di bawahya seperti Ian Rush serta seluruh skuad utama musim ini.
Keseluruhan pengisian Project Stand Red boleh dilihat di www.standred.com. Di bawah ini adalah satu daripada lima video yang akan dilancarkan secara berperingkat.