BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Khamis, 9 Julai 2020

Kenapa kembar melekat dipanggil kembar Siam?


Setiap kembar yang bercantum pada mana-mana bahagian tubuh mereka akan dipanggil kembar Siam. Kenapa Siam?

Terma tersebut menjadi sinonim dengan keadaan anomali biologi manusia itu apabila Chang dan Eng, sepasang kembar yang berasal dari Siam (Thailand) tiba ke Amerika Syarikat pada 1829.

Chang dan Eng (11 Mei 1811-17 Januari 1874) bercantum pada bahagian dada mereka, dan ianya sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh dunia Barat pada ketika itu.

Sejak dilahirkan, Chang dan Eng adalah dua individu sempurna, hanya dicantum pada bahagian tulang dada (sternum) oleh sejalur daging dan tulang rawan. Hati mereka bersambung pada jalur tersebut yang panjangnya 5 inci dengan ukur lilit 9 inci.

Mereka ditemui oleh seorang pedagang Scotland bernama Robert Hunter ketika berusia 17 tahun. Melihat potensi ekonomi yang boleh dieksploitasi daripada kembar unik ini, Hunter membawa Chang dan Eng ke Amerika untuk dijadikan bahan pameran.

Pada awal kemunculan, Chang dan Eng mengenakan pakaian Oriental, mengenakan rambut tocang dan membuat persembahan mempamerkan kebolehan atletik mereka seperti berlari, berenang, dan aksi somersault.

Chang (kanan kita) dan Eng berkongsi hati menerusi bahagian daging dan tulang rawan yang mencantumkan mereka itu.

Iklan promosi pertunjukan menamakan mereka sebagai 'The Siamese Youth' dengan yuran kemasukan sekitar 25 sen (bersamaan $6 pada hari ini). Selain itu, pamplet pertunjukan dan poster lukisan dua beradik itu juga dijual sebagai cenderamata.

Mereka bukan sahaja menjelajah sekitar Amerika, tetapi juga di bandar-bandar utama di United Kingdom. Mereka memperoleh hasil yang lumayan, memancing ramai khalayak datang untuk menyaksikan keunikan mereka. Betul-betul buat duit.

Bermula 1832, Chang dan Eng mula membuat persembahan jelajah sendiri. Semakin dewasa dan menggelarkan diri mereka 'The Siamese Twin', Chang dan Eng sudah mula fasih berbahasa Inggeris dan mengenakan pakaian Amerika serta bentuk persembahan yang lebih formal seperti bersoal jawab dengan penonton.

Dengan kekayaan yang semakin bertambah, Chang dan Eng membeli 150 ekar tanah di Traphill, Wilkes County, membina sebuah rumah dan menetap di situ pada sekitar 1839. Pantas mereka menjadi kenalan rapat ahli-ahli elit masyarakat Wilkes dan tidak lama selepas itu, Chang dan Eng menjadi warga naturalisasi dan membeli beberapa orang hamba.

Pada 1843, mereka mengahwini sepasang adik beradik; Chang dengan Adelaide Yates sementara Eng dengan Sarah Yates. Chang dan Adelaide dikurniakan 10 orang cahaya mata, manakala Eng dan Sarah ada 11 orang anak; kesemuanya ada 12 perempuan dan 9 lelaki.

Chang dan Eng di tengah, bersama Adelaide dan Sarah serta anak-anak mereka. Dahsyat.

Awal Oktober 1860, kembar Siam itu menandatangani kontrak dengan showman termasyhur P. T. Barnum untuk membuat pertunjukan di Barnum's American Museum selama sebulan. Pada tempoh itu juga mereka sempat membuat pertunjukan jelajah di United Kingdom.

Perang Saudara Amerika pada 1861-1865 memberikan kesan besar kepada mereka. Chang dan Eng menjadi alat mainan propaganda sebagai simbol penyatuan/perpisahan oleh Union yang mahu menghapuskan perhambaan dengan parti Konfederasi yang mahu mempertahankan amalan itu.

Tamat Perang Saudara, Chang dan Eng kehilangan sebahagian besar kekayaannya dan terpaksa membebaskan hamba-hamba yang dimiliki. Keadaan itu memaksa kembar tersebut kembali membuat pertunjukan jelajah untuk dapat terus membiayai kehidupan dan persekolahan anak-anak mereka.

Chang mengalami angin ahmar (strok) yang menyebabkan bahagian kanan badannya yang menghadap Eng lumpuh pada 1870. Dia menjadi seorang yang kuat minum dan empat tahun kemudian, dia menghidap radang paru-paru (bronchitis), sedangkan kembarnya dalam keadaan kesihatan yang baik.

Pada pagi 17 Januari 1874, salah seorang anak Eng memeriksa pasangan kembar yang sedang tidur  lalu berkata "Pakcik Chang sudah mati" kepada bapanya, yang kemudian dijawab Eng, "Jadi aku pun ikut sama!". Eng meninggal dunia beberapa jam selepas itu.

Chang dan Eng diketahui sebagai kembar Siam yang paling panjang jangka hayatnya apabila meninggal dunia pada usia 64 tahun, sebelum rekod itu dipecahkan oleh pasangan Ronnie dan Donnie Galydon pada 2012. Kembar Galydon menghembuskan nafas terakhir pada 4 Julai 2020 di usia 68 tahun. 

Hidup bersama, mati bersama.




Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu