Malaysia dipenuhi dengan keindahan semula jadi seperti gunung-ganang, sungai dan air terjun yang sering menjadi tumpuan pelancong luar dan dalam negara untuk melakukan aktiviti riadah.
Bagaimanapun, sering kita dengar insiden tragis yang berlaku kepada orang yang tidak berhati-hati ketika mendaki gunung atau kurang pengetahuan tentang keselamatan ketika mendaki.
Ada juga banyak tragedi lemas di sungai kerana ditarik aliran sungai yang deras atau tidak pandai berenang dan tidak dipantau.
Sabtu lalu, seorang insan meninggal dunia ketika mendaki bukit menuju ke air terjun Lata Medang di Kuala Kubu Baru, Selangor.
Apa berlaku di Lata Medang?
Air terjun Lata Medang Foto: @sarayamia |
Menurut sebuah entri di laman Instagram oleh seorang saksi yang dikenali sebagai Rexy Lum (@rexylum), saksi pada ketika itu sedang mandi air terjun Lata Medang sebelum dia terdengar satu bunyi hantukan yang kuat seperti dahan pokok yang besar jatuh di atas batu.
Dakwanya, mangsa berada tinggi di atas kawasan air terjun ketika ingin mengambil selfie namun tergelincir dan terjatuh.
"Pada jam 11:26 pagi, rohnya meninggalkan tubuh, seorang lelaki sekitar 20-an telah meninggal dunia dan saya memerhatikan kejadian itu di depan mata sendiri. Semua ini hanya untuk mendapat gambar yang cantik," kata Rexy dalam entri tersebut.
Bagaimana insiden itu boleh berlaku?
Reaksi pertama Rexy adalah untuk cepat-cepat bawa mangsa keluar daripada air dan melakukan apa sahaja untuk membantunya.
"Saya pegang mangsa dengan dua-dua tangan dengan harapan dia masih hidup, dan saya dengar dia tercungap-cungap, darah mengalir dari telinga, tiada nadi," katanya lagi di dalam entri yang sama.
Orang ramai yang sedang berkemah di kawasan berdekatan juga terlibat membantu mangsa dan melakukan CPR, namun tidak mampu melakukan apa-apa kerana ajal telah tiba.
Perjalanan ke air terjun. Foto: @sarayamia |
Apa reaksi saksi?
Bagi Rexy, insiden itu merupakan salah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Dia berharap orang ramai, lagi-lagi orang yang tidak berpengalaman untuk memastikan keselamatan ketika melakukan aktiviti riadah semasa mendaki dan di kawasan air terjun kerana hanya satu kesilapan mampu meragut nyawa.
Baca artikel menyusul di sini: Tip elak kemalangan semasa hiking
Sumber foto: Instagram @rexylum