Siapa kata kucing tak bijak dan tiada perasaan kasih sayang terhadap tuannya?
Ini kisah kucing yang diberi nama Nana yang membuktikan kucing juga mampu mencintai kita tanpa syarat dan sangat setia kepada tuannya.
Walaupun tuannya sudah meninggal dunia, dua tahun lalu, setiap hari selama dua tahun, kasih sayang dan kesetiaan Nana dapat dilihat apabila menziarah kubur arwah tuannya setiap pagi.
Kisah Nana itu dikongsikan di Facebook Kelab Pencinta Kucing Malaysia oleh Hazlynn Nozi yang merupakan anak kepada arwah.
Foto: Hazlynn Nozi |
"Tiap pagi Nana balik rumah untuk minta makanan, kaki basah-basah kena embun sebab baru balik dari kubur. Semoga menjadi pengajaran buat kita semua, berbuat baik lah walaupun pada seekor kucing," kata Hazlynn di entri tersebut.
Menurut Hazlynn, arwah bapanya yang pernah bekerja sebagai guru memang sayangkan kucing, namun hubungannya dengan Nana sangat rapat dan istimewa berbanding dengan kucing lain.
Katanya, arwah selalu akan memberi makan kepada Nana, sebelum dia pergi ke masjid setiap pagi.
Nana pun sering mengikutinya ke masjid dan menunggu sehingga arwah habis menunaikan solat, sebelum mereka pulang ke rumah bersama-sama.
Apabila arwah meninggal dunia, Nana yang sampai dulu ke tanah perkuburan yang terletak di sebelah masjid, bersebelahan dengan rumah keluarga mereka di Kelantan.
Foto: Facebook Hazlynn Nozi |
Sehingga ke hari ini, dua tahun selepas kematian arwah, setiap hari Nana akan menjenguk kubur ayahnya itu dan kata Hazlynn, kucing itu hanya akan duduk atau tidur di tepi kubur.
Nana juga pernah dilihat tidur di tempat arwah berehat ketika masih hidup, seperti di buaian atau di atas kereta arwah.
Walaupun jarang kita dengar hubungan seperti itu wujud di antara kucing dengan manusia, namun cerita Nana ini sungguh mencuit hati.
Ia terbukti haiwan juga mempunyai perasaan, jadi jangan lah kejam kepada makhluk ciptaan Tuhan.
Fakta: Nana berusia enam tahun, adalah kucing jantan.
Sumber foto: Facebook Kelab Pencinta Kucing Malaysia/Hazlynn Nozi