Usah bimbang, kunjungi dan kenali terlebih dahulu destinasi pelancongan secara maya sebelum menjejaki lokasi.
Menurut Presiden Produktiviti Pelancongan Nexus, Uzaidi Udanis, inovasi pelancongan maya atau virtual tourism ini antara kemudahan dunia digital yang dapat membantu dalam membuat pilihan destinasi pelancongan, sekali gus meningkatkan minat rakyat Malaysia untuk mula bercuti dalam negara.
"Pelancong sekarang ni, dia sangat pintar, dia lebih kepada media sosial, dia nak pengalaman, bukan ambil gambar sahaja, jadi dengan virtual tourism ni kita memberi pengalaman yang baharu, yang unik.
"Apa pengalamannya? Storytelling, kenali tempat itu sebelum mereka pergi, boleh kenali orang tempatan, membuat kawan, berinteraksi dan sebagainya," kata Uzaidi dalam temu bual eksklusif bersama Rancak TV.
Katanya, acara yang begitu popular dan habis dijual itu juga dapat menarik minat pelancong domestik untuk kunjungi destinasi-destinasi kurang popular di dalam negara.
"Baru-baru ini, kita telah menganjurkan acara virtual tourism di Miri, Sarawak di mana kita menceritakan kisah cinta antara burung, Faridah dan Jimmy.
"Ramai orang tak tahu sebenarnya ada satu tragedi di Miri, dan ramai yang tidak pernah terfikir untuk pergi ke Miri, selepas sesi itu mereka rasa nak pergi, nak tengok dan alami sendiri tempat itu," kata Uzaidi.
Menurut Uzaidi, inovasi ini antara inisiatif pemulihan sektor pelancongan di Malaysia yang sangat terjejas akibat pandemik COVID-19.
"Nampak gayanya kita ni ada dalam keadaan yang sangat sukar, namun macam mana sukar sekali pun, kita kena yakinkan pelanggan-pelanggan kita, pelancong domestik supaya mereka melancong, belanja dan meyakinkan mereka yang semua produk pelancongan kita selamat untuk dikunjungi," tambahnya.
Saksikan MISI MIA 2, esok (Jumaat, 7 pagi) di saluran Youtube kami untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai persediaan untuk percutian domestik.
Saksikan MISI MIA 2, esok (Jumaat, 7 pagi) di saluran Youtube kami untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai persediaan untuk percutian domestik.