BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Khamis, 23 Julai 2020

Kesian alpaka, didera teruk kerana bulu...

Foto: PETA
Apalah nasib alpaka, semua kerana bulunya yang tebal dan lembut dan sesuai digunakan untuk dibuat pakaian musim sejuk, haiwan itu didera sehingga meraung kesakitan dan muntah kerana ketakutan.

Sebelum ini, kita sering dengar bulu alpaka merupakan alternatif yang lebih baik bagi penggunaan bulunya untuk produk pakaian dan selimut kerana ia dikira lebih mesra alam berbanding kambing biri-biri.

Namun, perkara itu sebenarnya tidak benar dan ia terbukti haiwan itu sebenarnya didera dalam proses pengambilan bulunya.

Ini tiga perkara tentang alpaka dan bagaimana anda boleh membantu menghentikan kegiatan ini.


Apa bukti alpaka didera?

Foto: PETA

People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) dalam satu video yang dimuat naik ke laman YouTube mendedahkan spesis mamalia serupa llama itu diikat di atas meja sambil dicantas bulunya dengan keras sehingga meninggalkan luka yang mendalam pada seluruh tubuh.

Hasil siasatan oleh PETA mendedahkan pekerja di ladang alpaka terbesar dunia di Mallkini, Peru mengendalikan alpaka dengan menggunakan kekerasan, sambil mencantas bulunya menggunakan gunting elektrik, sehingga haiwan itu menangis dan muntah kerana ketakutan.

Bukan itu sahaja, haiwan itu turut dilukakan pada tubuh badannya, dan bagi luka yang dalam, pengendali hanya menjahit luka itu tanpa menggunakan ubat tahan sakit.

Menurut PETA, pengendali didakwa mencampak alpaka, termasuk yang sedang bunting ke atas meja dan mengikat kaki alpaka itu menggunakan alat untuk meregangkan kaki dengan kuat sehingga hampir tercabut daripada soket.

Jika anda tidak kuat, jangan lihat video di bawah.


Siapa menolak perbuatan penderaan ini?

Foto: PETA

UNIQLO antara jenama fesyen terbesar yang menolak dan mengharamkan penggunaan bulu alpaka dalam penghasilan pakaian, selain Gap Inc. dan H&M Group.

Walau bagaimanapun, tindakan jenama-jenama terkemuka ini tidak mencukupi untuk menghentikan kegiatan penderaan alpaka yang dicantas sehingga berdarah untuk bulunya.

Menurut pengarah projek korporat PETA, Yvonne Taylor, pengguna juga boleh membantu haiwan tidak bernasib baik ini dengan menolak penderaan haiwan dan memilih pakaian vegan atau semula jadi yang tidak menjejaskan kesejahteraan haiwan.

Apa kesan penggunaan bulu alpaka terhadap alam sekitar?

Foto: Indeks Kelestarian Bahan Higg

PETA turut menambah, selain memberi kesan terhadap kehidupan haiwan, penghasilan bulu alpaka juga memberi kesan negatif terhadap alam sekitar.

Menurut Indeks Kelesterian Bahan Higg (Higg Material Sustainability Index), bulu alpaka merupakan bahan paling tidak mesra alam.


Foto: PETA
Jadi apa perasaan anda? Masih ingin pakai pakaian dibuat daripada bulu alpaka? Kongsikan artikel ini dan hentikan penderaan haiwan.





Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu