Sekitar 1800-an, permainan bola sepak adalah popular dalam kalangan golongan pekerja di England. Kebanyakan mereka bermain dengan memakai but kerja mereka, memandangkan ketika itu tiada kasut khas dicipta untuk sukan itu, di samping kemampuan ekonomi mereka yang cukup makan sahaja.
Untuk mengelakkan tergelincir ketika bergerak lincah menyepak bola, mereka kemudian menampal paku besi atau stud pada tapak kasut mereka. Maka terlahirlah but bola yang pertama.
Sejak dari itu, but bola sepak terus berevolusi dengan pelbagai bentuk, warna, bahan buatan dan bermacam teknologi untuk menjadikannya kelengkapan yang berupaya membawa lebih impak kepada permainan sang pemakai.
Dalam beratus ribu bentuk dan rupa but bola dari dulu sehingga hari ini, ada beberapa yang menempa nama sebagai yang paling ikonik dalam sejarah permainan bola sepak dan pembuatan but bola secara khususnya. Nindia:
5. Puma King
Penciptaannya tercetus apabila bintang Portugal, Eusebio da Silva Ferriera menjaringkan sembilan gol dalam temasya Piala Dunia 1966 dengan memakai but Puma.
Sebagai meraikan keunggulan pencapaiannya itu, Puma memperkenalkan sejenis but yang ditambah baik dengan beberapa ciri dengan nama Puma KING pada 1968.
Ia kemudian turut disarung oleh legenda Brazil, Pelé yang sebenarnya juga sudah lama memakai but Puma, tapi bukan jenis KING lah. Selain O Rei, antara legenda yang turut memilih Puma KING sebagai senjata mereka adalah Johan Cruyff, Mario Kempes dan Diego Maradona.
4. Nike Tiempo Legend R10
Tiempo adalah silo terlama yang dihasilkan oleh Nike, sejak 1984 dan terus menjadi antara jenis but yang digemari sehingga hari ini.
Biarpun melalui pelbagai peringkat evolusi menampilkan teknologi terbaharu, Tiempo kekal dengan identitinya sebagai but premium buatan kulit kanggaru.
Tapi dalam banyak-banyak bentuk dan rupa Tiempo sepanjang hampir 40 dekad usianya, semestinya yang paling ikonik adalah Nike Tiempo Air Legend R10 yang dipakai oleh Ronaldinho ketika di puncak kariernya.
Video promosinya yang menampilkan Ronaldinho memakai but tersebut dan menyepak bola beberapa kali mengenai palang menjadi video pertama di Youtube yang men cecah 1 juta tontonan.
3. Nike Mercurial
Segalanya bermula pada 1996 apabila Nike bekerjasama rapat dengan pasukan Brazil, dan memfokuskan kepada penghasilan but khusus buat bintang muda sensasi, Ronaldo Lima.
Mereka mensasarkan sebuah but yang ringan dan mampu membantu ledakan gaya permainan pantas, lalu digantikan kulit kangaroo dengan bahan baharu buatan sintetik KNG-100, serta menipiskan tapak dari standard industri 3mm kepada hanya 1.7mm.
Nike melancarkan Mercurial pertama pada 1998, memecah tradisi dan terus mengorak langkah sehingga hari ini dalam penerokaan teknologi baharu untuk menjadikan but bola sepak paling terkehadapan.
Dari Ronaldo Lima, kesinambungan prestij dan keunggulan Mercurial diteruskan oleh pemain selepasnya yang mengukir nama selaku antara yang terbaik sepanjang zaman, Cristiano Ronaldo.
Selain itu, silo but ini juga menjadi pilihan ramai pemain penyerang seperti Zlatan Ibrahimovic, Didier Drogba, Neymar dan Kylian Mbappe.
2. Adidas Copa Mundial
The OG. But bola sepak yang paling laris sepanjang zaman. Klasik.
Bererti 'Piala Dunia' dalam bahasa Sepanyol, Adidas mengeluarkan but ini pada 1979 sempena Piala Dunia FIFA di Sepanyol pada 1982.
Sejak pertama kali diperkenalkan, but ini tidak banyak mengalami perubahan dari segi bahan buatan dan rekaannya. Sehingga hari ini, ia masih dihasilkan sepenuhnya daripada kulit kanggaru premium di Scheinfeld, Jerman.
But ini dipakai tentunya oleh legenda Jerman, Franz Beckenbauer (selepas memakai Adidas Cosmos yang diperkenalkan pada 1970). Selain itu, Oliver Kahn, Miroslav Klose, Zinedine Zidane, Steven Gerrard, Eric Cantona dan David Beckham antara yang pernah mengenakan but ini sebelum munculnya generasi but-but baharu.
Adidas Copa Mundial terus menjadi pilihan ramai pemain profesional juga amatur kerana keselesaan dan ketahanannya yang jarang didapati dalam but-but canggih hari ini.
1. Adidas Predator Mania
Siapa yang main bola, tipulah kalau tak meleleh air liur melihat but ini (mungkin hanya generasi yang menempuh hidup di zaman antara dua milenia 90an-00an).
Predator mula diperkenalkan pada 1994, merupakan silo paling popular antara semua but yang dihasilkan Adidas. Hanya selepas empat tahun kemudian, barulah ia mencuri tumpuan apabila Accelerator membuat penampilan di Piala Dunia FIFA 1998 Perancis.
Nama but itu semakin melonjak apabila si pemakainya melakar kegemilangan dan membawa Perancis memenangi Piala Dunia buat kali pertama - siapa lagi kalau bukan Zinedine Zidane.
Pada tahun 2000, Adidas memperkenalkan Predator Precision sebagai kesinambungan kepada Accelerator. Rekaannya yang elegan dan garang menjadikannya kasut yang popular pada era itu.
Sehinggalah tibanya Predator Mania menggegarkan dunia tatkala ia membuat penampilan pada Piala Dunia FIFA 2002 di Korea/Jepun. Tiada apa yang boleh mengatasi kelibat but ini tatkala kamera di'zoom' ketika David Beckham meletakkan bola untuk mengambil sepakan percuma.
Sampai hari ini, inilah but yang paling 'hensem' yang pernah dihasilkan manusia.