BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Jumaat, 25 Disember 2020

Betul ke Nabi Isa dilahirkan pada 25 Disember?


Krismas adalah sebuah perayaan yang disambut meriah setiap tahun. Daripada perayaan agama ia berevolusi menjadi sebuah keraian tradisi masyarakat dunia yang majmuk.

Orang Kristian menyambut Krismas sebagai memperingati kelahiran Jesus atau Nabi Isa alaihissalam para 25 Disember setiap tahun. Memandangkan banyak hal umat Islam banyak persamaan dengan orang Kristian, jadi adakah benar Isa a.s dilahirkan pada tarikh tersebut?

25 Disember adalah di pertengahan musim sejuk bagi kebanyakan negara di hemisfera utara, dan waktu itu sebenarnya sudah diraikan oleh masyarakat lama sebelum kelahiran manusia keramat itu lagi. Mereka meraikan detik bermulanya pengakhiran musim sejuk kerana tibanya matahari tak lama lagi. 

Orang Norse di Skandinavia merayakan tempoh dari 21 Disember hingga Januari yang mereka panggil Yule. Para bapa akan membawa pulang kayu-kayu besar untuk dinyalakan, dan mereka akan berpesta makan minum sehinggalah semua kayu dikumpul habis dibakar.

Sementara orang Jerman meraikan dewa pagan bernama Oden di pertengahan musim sejuk. Mereka takut dengan Oden kerana percaya bahawa dewa itu berterbangan di langit malam untuk memantau orang-orangnya, dan mengadili sama ada mereka baik atau buruk. Kerana itu mereka lebih suka duduk di dalam rumah takut dilihat Oden, dan cuaca pula tengah kemuncak kesejukan memang tak lah nak keluar.

Di Rom, mereka bercuti memuja Saturn, dewa agrikultur. Bermula pada minggu menuju solstis sehingga sebulan, perayaan Saturnalia dipenuhi jamuan nafsu. Ketika itu, segalanya jadi tunggang terbalik. Yang hamba menjadi tuan, yang tuan menjadi kuli, bisnes dan sekolah ditutup, semua orang berpesta ria. 

Juga sekitar musim sejuk solstis itu, orang Rom menyambut Juvenalia, hari di mana mereka mengadakan kenduri meraikan kanak-kanak yang merupakan hari paling suci. Juga, orang-orang bangsawan meraikan hari kelahiran Mithra, dewa anak kecil yang mentadbir matahari pada 25 Disember.

Ketika awal kewujudan agama Kristian, hari Jesus/Isa diangkat ke langit iaitu Easter adalah hari raya utama mereka. Hari kelahirannya tidak disambut, memandangkan dalam kitab Injil tidak disebut tarikh kelahiran Jesus, begitu juga dalam Al-Quran. Paus Julius I yang memilih tarikh 25 Disember, dipercayai sebagai usaha mengadaptasi tradisi temurun perayaan Saturnalia dari zaman pagan mereka.

Mulanya dipanggil Jamuan Kelahiran (Feast of Nativity), budaya ini berkembang ke Mesir sekitar tahun 432 dan sampai ke bumi Inggeris menjelang akhir kurun keenam. Sekitar akhir kurun kelapan, Krismas sudah mula diamalkan di Skandinavia.

Namun amalan Kristian Greek dan gereja ortodoks Rusia lain sedikit, mereka sambut Krismas 13 atau 14 hari selepas 25 haribulan. Ini kerana umat Kristian di Timur menggunakan kalendar Julian, berbeza dengan kalendar Gregorian yang digunakan oleh Kristian Barat.

Menjelang Zaman Pertengahan iaitu sekitar kurun kelima hingga ke-15, agama Kristian sudah menggantikan kepercayaan pagan. Namun, perayaannya tetap diraikan, diadaptasi dalam pegangan yang baharu. Tidak banyak berubah tradisi sambutannya, cuma lebih tenang berbanding asalnya.

*Gambar atas: "Adoration of the Shepherds" (1622), gambaran pelukis Gerard van Honthorst tentang detik kelahiran Jesus.


Sumber: History, Wikipedia, Biblical Archeology


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu