BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Ahad, 13 Disember 2020

10 petanda kucing suka kita


Kucing adalah sejenis binatang yang sukar untuk dibaca. Lain yang diagak, lain yang dibuat. Sebab itu ada pepatah 'alim-alim kucing'. Binatang yang pandai berlakon.

Begitupun, haiwan comel ini juga punyai perasaan. Walaupun tidak menunjukkannya secara jelas seperti anjing yang menggoyangkan ekor dan riak wajah yang lebih ekspresif, kucing ada cara mereka yang tersendiri.

Kita selalu buat macam-macam untuk memikat kucing, tetapi jarang kita fahami perilaku mereka. Bagaimana nak tahu sama ada kucing itu suka pada kita? Ini antara tanda-tandanya.


1. Kucing lagakan kepalanya dengan kita


Tak jauh beza macam manusia, perlakuan kepala disandarkan pada bahu atau kepala seseorang yang lain menunjukkan rasa suka, senang dan sayang.

Apabila kucing melagakan (bukan hentak) kepalanya atau menggeselkan tubuhnya pada kita, ertinya kucing itu menganggap kita sebagai kawannya.

Perbuatan menggesel kepala juga adalah cara kucing menandakan kawasannya kerana ada sejenis kelenjar bauan pada dagu, pipi, dahi dan bibirnya. Dengan menggeselkan wajahnya pada kita, bermakna mereka meninggalkan tanda persahabatan atau 'pemilikan'.


2. Ekor mereka berpintal atau dibelitkan pada kaki kita


Pergerakan ekor kucing memberi banyak maklumat tentang moodnya. 

Kalau ekornya kembang dan bulunya meremang dengan badan dilengkungkan ke atas, tandanya dia dalam ketakutan. Tapi kalau ekornya berpusing-pusing dan tegak, maknanya dia selesa dan gembira dengan kehadiran kita. Apatah lagi kalau ia dililit pada kaki atau tangan kita.


3. Dia tunjukkan perutnya pada kita


Perut adalah bahagian yang paling sulit bagi kucing, juga yang paling comel untuk dilihat dan digomol. Kalau kucing itu terbaring dan membuka bahagian bawah badannya kepada kita, anda telah mendapat kepercayaan mereka.

Sebab itu bukan boleh suka-suka gomol perut kucing yang kita baru jumpa, silap haribulan bercalar tangan kita dicakarnya.


4. Mereka berdengkur


Kalau kita dekat dengan mereka dan kedengaran mereka berdengkur (purr), maknanya kucing itu selesa dengan kehadiran kita. 

Dengkuran kucing ini bukan biasa-biasa, kerana mereka hanya berdengkur kepada manusia yang mereka suka selain daripada anak-anak mereka. Kucing tidak berdengkur sesama kucing lain untuk berkomunikasi.

Malah, dengkuran ini sebenarnya ada kuasa menyembuh yang menakjubkan (BACA: Kuasa menyembuh dengkuran kucing).


5. Kucing anda bawa 'hadiah'

Bila kucing bawa sesuatu kepada kita, itu maksudnya mereka rasa selamat bersama dengan kita. Kucing memang perangainya suka bawa balik benda-benda ke tempat yang mereka anggap sebagai rumah.

Tapi banyaknya 'hadiah' yang dibawa balik itu yang bukan-bukan - cicak mati lah, bangkai katak lah, lipas kering lah.


6. Mereka sering menggigit-gigit manja


Selalu kalau kita hulur tangan kemudian kucing gigit-gigit manja jari jemari kita, jelas sekali kita sudah jadi kawannya.

Tapi kalau dah gigit kuat tu, faham-faham saja lah.


7. Kita selalu diekori

Kalau naik atas katil dia ikut, pergi dapur dia ikut, pergi jamban pun dia ikut, maknanya kucing itu sayang betul pada kita.

Ataupun dia nak sesuatu....


8. Kucing jilat kita

Ada beberapa jenis haiwan, terutamanya keluarga kucing, memang menjilat-jilat tubuh mereka sebagai satu perbuatan menjaga kebersihan dan penampilannya. Perbuatan menjilat dalam dunia haiwan juga adalah tanda peduli dan sayang.

Kalau kita dijilatnya - pada tangan,rambut atau telinga - maknanya dia menganggap kita sebagai teman rapatnya.


9. Ditekan-tekannya kita dengan tapaknya


Anak kucing akan menekan-nekan tapaknya untuk melancarkan aliran susu daripada ibunya, tetapi jika dibuat kucing dewasa bermakna ia satu luahan rasa kasih. Semacam dia mengurut badan kita untuk membuatkan kita rasa selesa.

Pada tapak tangan mereka juga ada kelenjar bauan, jadi bererti juga mereka meninggalkan tanda 'INI AKU PUNYA!'.


10. Mereka mengelip perlahan matanya


Mata juga digunakan kucing untuk berkomunikasi. Kata pakar, kelipan perlahan mata kucing ini adalah tanda suka, juga dipanggil 'ciuman si kucing' (kitty kiss).

Kalau ada kucing lain di sekitar dan seseekor kucing itu kerap berkelip perlahan, maknanya dia memberitahu yang segalanya dalam keadaan terkawal. 'All good bro'.

*Sumber: Insider


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu