BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Isnin, 17 Ogos 2020

Apa beza Tan Sri, Datuk Seri, Datuk dan Dato'?


Gelaran membezakan pangkat seseorang sama ada mereka daripada golongan orang ternama, golongan elit, orang kaya, atau golongan orang biasa.



Tetapi kerana di Malaysia terdapat banyak sangat gelaran, ramai selalu keliru apa sebenarnya perbezaan di antara Tan Sri, Datuk Seri, Datuk dan Dato'?



Secara singkat, sesuatu gelaran atau darjah kebesaran dikurniakan, sama ada melalui kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan bagi menghargai jasa, pengaruh, atau taraf ketika berbakti kepada masyarakat dan negara.

Artikel ini akan memberi penerangan bagi perbezaan di antara satu gelaran dengan gelaran yang lain (dari pangkat rendah ke tertinggi).



1. Datuk dan Dato' (kerajaan negeri)



Datuk dan Dato' merupakan gelaran paling biasa didengar dan paling sering dikelirukan kerana cara sebutannya yang sama, tetapi ejaan berbeza.



Walaupun pangkat adalah sama, namun ada perbezaan di antara kedua-dua gelaran itu.



Datuk merupakan anugerah kerajaan persekutuan yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) manakala Dato' pula merupakan anugerah kerajaan negeri yang dikurniakan oleh sultan atau Yang di-Pertua Negeri.



Bagaimanapun, gelaran itu juga berbeza mengikut negeri di mana gelaran Datuk dikurniakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Wilayah Persekutuan dan Sabah, manakala Datuk dan Dato dikurniakan oleh negeri Sarawak.



Bagi negeri Kedah, Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Selangor, Terengganu dan Pahang, gelaran yang dikurniakan semuanya ialah Dato'.



2. Datuk (kerajaan persekutuan)

Gelaran Datuk oleh kerajaan persekutuan dianugerahkan kepada seseorang oleh YDPA dan dibahagikan kepada dua, Panglima Jasa Negara (PJN) dan Panglima Setia Diraja (PSD).



Pemberian gelaran Datuk bagi PJN adalah terhad kepada 200 orang pada satu masa, yang juga bermaksud jika seseorang dengan gelaran itu meninggal dunia, gelaran itu boleh dikurniakan kepada individu yang lain.



Gelaran Datuk bagi PSD pula tiada hadnya, dan kedua-dua kategori anugerah PJN dan PSD turut boleh dianugerahkan kepada bukan warganeraga Malaysia.



Sebagai contoh, Shahrukh Khan telah menerima gelaran Datuk oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka pada tahun 2008 dan Jackie Chan telah menerima gelaran Datuk oleh Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2015.



Dalam pada itu, jika kita membaca laporan berita, kita tidak dapat membezakan gelaran Datuk, Dato' atau Dato kerana media massa telah menyeragamkan penggunaan Datuk bagi kesemua gelaran tersebut.



3. Datuk Seri (kerajaan negeri)



Pangkat gelaran Datuk Seri/Dato' Seri merupakan anugerah pangkat tertinggi oleh kerajaan negeri yang dikurniakan oleh sultan atau Yang di-Pertua Negeri.



Pangkat ini juga sama taraf dengan gelaran Tan Sri, tetapi bezanya ialah Tan Sri dikurniakan oleh kerajaan persekutuan manakala Datuk Seri oleh kerajaan negeri.



Gelaran-gelaran ini, sama seperti anugerah gelaran Datuk dan Dato' oleh kerajaan negeri juga berbeza mengikut negeri masing-masing.



4. Tan Sri (kerajaan persekutuan)



Darjah kebesaran yang dikurniakan oleh YDPA ini merupakan darjah anugerah yang tertinggi oleh kerajaan persekutuan.



Walaupun pangkat adalah setaraf dengan Datuk Seri, namun gelaran Tan Sri mempunyai had bagi pemberian anugerah dalam satu-satu masa.



Gelaran Tan Sri dibahagikan kepada dua, iaitu Panglima Mangku Negara (PMN) dan Panglima Setia Mahkota (PSM).



Bagi gelaran Tan Sri PMN, hadnya ialah 75 individu pada satu-satu masa, manakala Tan Sri PSM, hadnya ialah 250 individu pada satu-satu masa.



Contoh, Ketua Pengarah Kesihatan yang sebelum ini digelar Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kini digelar Tan Sri setelah dianugerahkan pangkat itu sempena Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda YDPA, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada Isnin.



5. Tun



Anugerah gelaran Tun merupakan anugerah paling terhad di Malaysia yang dikurniakan oleh YDPA, iaitu terhad kepada 25 penerima pada satu-satu masa.



Gelaran ini dibahagikan kepada dua, Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) dan Seri Setia Mahkota (SSM).



Gelaran SMN ialah anugerah yang diberikan kepada Yang di-Pertua Negeri serta bekas Perdana Menteri (PM) Malaysia selepas bersara.



Sebagai contoh, Tun Dr Mahathir Mohamad menerima gelaran Tun selepas beliau bersara sebagai PM Malaysia yang ke empat, manakala Tun Abdullah Ahmad Badawi menerima gelaran itu selepas bersara sebagai PM yang ke lima.



Dato' Seri Najib Tun Razak merupakan satu-satunya PM Malaysia yang tidak menerima gelaran Tun, buat masa ini.



Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu