BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Rabu, 22 Julai 2020

Kenapa anjing jelirkan lidahnya?


Perbuatan menjelirkan lidah selalu dikaitkan dengan anjing. Tambah-tambah lagi selepas penat berlari atau bersukan, kita kadang-kadang keluarkan lidah untuk mengawal kemengahan.

Jadi apa kaitan mengah dengan jelirkan lidah? Dan kenapa anjing selalu menjelirkan lidahnya?

Pada tubuh anjing, hanya bahagian hidung dan tapak kakinya sahaja yang mengeluarkan peluh. Bahagian kecil tersebut tidak mampu menampung beban kerja untuk menyejukkan badannya apabila cuaca panas ataupun selepas seseekor anjing itu bergerak aktif.

Maka anjing akan bernafas pantas dan menjelirkan lidah untuk mengawal atur suhu badannya. Lidah anjing secara semula jadi panjang, lebat dan leper serta memiliki banyak rangkaian salur darah.

Apabila lidah dijelirkan, lebih banyak air liur dihasilkan. Dengan nafas yang pantas menyejukkan air liur, ia pada masa sama menyejukkan juga darah di dalam lidah sebelum mengalir semula ke bahagian tubuh yang lain.

Lebih kurang manusia apabila 'pancit' yang teramat, kita pun tercungap-cungap dan sesekali terkeluar lidah. Itu dah teruk sangat lah pancitnya.

Ada juga anjing yang sentiasa mengeluarkan lidahnya. Seperti baka Pug dan Bulldog, mereka mempunyai lidah yang lebih besar daripada rongga mulutnya. Kerana tak cukup ruang untuk menyimpan lidah sepenuhnya, terjelirlah sehingga akhir hayat mereka.

Jadi, anjing memerlukan air yang banyak apabila mereka dalam keadaan lidah yang terjelir untuk menggantikan cecair badan yang hilang ketika proses regulasi suhu tubuh. Lebih-lebih lagi yang memiliki Sindrom Lidah Terjelir, mereka perlu lebih kerap minum air.

Kadang-kadang, anjing juga menjelirkan lidahnya apabila diberi ubat baharu. Boleh jadi ia menandakan anjing tak berapa suka dengan ubat tersebut.



Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu