BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Khamis, 2 Julai 2020

Tromsø, pekan yang disegani matahari



Ada satu pekan di Norway bernama Tromsø di mana berlakunya variasi cahaya ekstrim antara musim.

Ketika tempoh yang dipanggil 'Polar Night' yang berlangsung pada musim sejuk dari November hingga Januari, matahari tidak terbit langsung dan pekan itu diselubungi salji dan gelap sepanjang tiga bulan itu (seperti gambar di atas).

Lama-kelamaan waktu siang semakin panjang sehingga matahari tidak terbenam sepanjang hari pada tempoh yang dipanggil 'Midnight Sun' yang berlangsung dari Mei hingga Julai. Itu pun matahari naik tak tinggi, hanya menjenguk sedikit dari garisan ufuk menghasilkan cahaya kemerahan di langit Tromsø.

Kemudian dari Ogos hingga Oktober, waktu siang beransur memendek sehinggalah tiba kembali tempoh Polar Night. Begitulah kitarannya setiap tahun di pekan kecil seluas 2,521,27km persegi itu.

Terletak 200 batu di utara Lingkaran Arctic, pekan yang didiami sekitar 70,000 orang ini juga menjadi antara lokasi paling baik untuk melihat Aurora Borealis.

Sungguhpun orang kata hidup dalam musim sejuk dan tidak disimbahi cahaya matahari adalah menyedihkan dan boleh mendorong kemurungan, tetapi tidak bagi warga Tromsø.

Biarpun kecil, Tromsø adalah hub kebudayaan di rantau Lingkaran Arctic dengan pelbagai konsert, teater, festival dan pelbagai aktiviti terutamanya pada musim Polar Night.

Tromsø semasa musim 'Midnight Sun'. Waktu siang dan malamnya cerah begini.

Menurut ahli psikologi Carol Dweck dalam bukunya 'Mindset: The New Psychology of Success', tetapan minda atau 'mindset' bukan sekadar mempengaruhi pencapaian dan kejayaan, malah juga kesihatan fizikal.

Katanya, orang yang mempunyai 'mindset' yang positif terhadap sesuatu perkara yang berpotensi mendatangkan stres, melihat masalah itu sebagai sesuatu yang produktif sekaligus meletakkan hormon stres, kortisol, pada paras yang sihat.

Contohnya, pekerja hotel yang melihat tugasnya membersihkan bilik sebagai satu bentuk senaman didapati tidak mengalami masalah berat badan dan tekanan darah tinggi, jika dibanding dengan mereka yang menganggap ia sebagai kerja semata-mata.

Bak kata orang putih, "when life gives you lemon, make lemonade." Kalau kehidupan memberi anda sesuatu yang masam, pahit atau tidak menyenangkan, olahlah supaya ia menjadi sesuatu yang manis untuk dinikmati.


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu