BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Isnin, 8 Jun 2020

Kenapa Hari Keputeraan Rasmi YDP Agong tak sama dengan tarikh lahir baginda?


Hari ini 8 Jun 2020 diisytihar sebagai hari cuti sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah yang jatuh pada Sabtu 6 Jun tempohari.

Hari Keputeraan ini biasanya adalah hari kelahiran bagi raja-raja. Tapi jika diikutkan tarikh lahir sebenar YDPA Agong kita adalah pada 30 Julai 1959, jadi kenapa pada 6 Jun disambut Hari Keputeraan Rasmi baginda?

Begini ceritanya. Sejarah sambutan itu bermula daripada Raja Britain pertama, Raja George II yang memerintah dari tahun 1727 hingga 1760.

Lima tahun selepas kejayaan memimpin tentera Bersekutu memenangi Pertempuran Dettingen di Jerman pada 1743, baginda ingin memperagakan kekuatan angkatan tentera British kepada rakyatnya.

Raja George II di Pertempuran Dettingen, Jerman pada 1743.
Hasratnya adalah untuk diadakan pada tarikh sambutan hari lahirnya, 9 November. Namun oleh kerana waktu itu jatuh pada musim sejuk, baginda memilih satu tarikh pada musim panas. Maka 14 Jun 1748 diadakan perarakan panji-panji rejimen askar British yang dipanggil 'Trooping of Colours' buat kali pertama.

Sejak Raja George II menjadi monarki terakhir Britain yang bertempur di medan perang, acara Trooping of Colours sempena Hari Keputeraan Rasmi tetap disambut pada Jun setiap tahun untuk menonjolkan peranan raja/ratu sebagai 'commander-in-chief' angkatan tentera Britain.

Ia menjadi tradisi yang disambut oleh negara-negara bekas jajahan British (Komanwel). Bagi negara-negara Komanwel yang masih mengamalkan sistem beraja, subjek sambutan Hari Keputeraan Rasmi Raja itu bertukar dari Ratu Elizabeth II kepada raja negara masing-masing.

Di Malaysia, sambutan Hari Keputeraan Rasmi dilengkapkan dengan Istiadat Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda YDP Agong. Pada asalnya ia disambut pada setiap Rabu pertama bulan Jun selepas 31 Ogos 1957. Hanya pada 1992 ia ditukar ke setiap Sabtu pertama bulan Jun.

Cuma pada ketika pemerintahan Sultan Muhammad V (13 Disember 2016 - 6 Januari 2019), tarikhnya diubah ke 9 September walaupun hari lahir sebenar baginda adalah pada 6 Oktober. Selepas baginda turun takhta, ia ditukar semula ke asal.




Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu