BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Jumaat, 3 Julai 2020

Pernah dengar lagu-lagu ini? Dengar lagu asalnya (Siri 2)

Kalau ada sesiapa yang mengatakan segala yang dihasilkan mereka, baik lukisan, penulisan, masakan, atau apa sahaja, adalah idea asli atau 'original' - mereka 'berbohong'.

Imaginasi manusia terilham daripada apa yang pernah dialami oleh deria manusia, zahir mahupun batin. Ertinya, kita diinspirasikan oleh sesuatu sebelum kita menghasilkan sesuatu.

Untuk tidak dilihat sebagai peniru atau penceduk, idea atau sumber ilham itu diolah mengikut acuan sendiri. Namun sebenarnya, banyak karya yang ada hari ini adalah dikitar semula.

Ada juga karya tidak banyak berubah daripada sumber asalnya, mungkin sebabnya karya asal itu sudah baik dan tidak mahu dirosakkan keindahannya.

Muzik misalnya sering melakukan teknik ini. Lagu-lagu lama atau jauh dari budaya setempat diambil dan diolah supaya sesuai untuk diterima oleh masyarakat sekitarnya. Ini yang dipanggil sebagai 'cover'.

Ada juga yang mengambil kesempatan daripada membuat 'cover' lagu popular dari negara lain atau muzik yang pernah masyhur suatu ketika dahulu untuk cuba mendapatkan reaksi yang sama dengan pasaran lokalnya.

Sebelum ini kita sudah bagi lima (BACA: Pernah dengar lagu-lagu ini? Dengar lagu asalnya (Siri 1)), ini lima lagi lagu-lagu popular yang saya rasa anda pernah dengar dan bandingkan dengan lagu asalnya.


1. Hatiku Luka Lagi (Black Dog Bone) = Kiss and Say Goodbye (The Manhattans)



Lagu dendangan Black Dog Bone ini antara yang dimuatkan dalam album kedua mereka 'Si Gadis Ayu' terbitan 1978. Ia kembali meletup pada hari ini apabila pengarah filem, Mamat Khalid menggunakan lagu tersebut dalam satu adegan dalam filem pecah panggung 'Hantu Kak Limah' (2018). 



'Kiss and Say Goodbye' melonjakkan nama kumpulan R&B The Manhattans ke seluruh dunia. Ia diterbitkan pada 1976 sebagai single dan dimuatkan dalam album ketujuh kumpulan itu, 'self-titled' bertajuk 'The Manhattans'.


2. Khushiyan Aur Gham (Mann) = Come vorrei (Ricci e Poveri)



'Khushiyan Aur Gham' adalah lagu balada yang mengisi runut bunyi filem Hindi popular 'Mann' yang diterbitkan pada 1999. Rupanya macam lagu 'Kali Nagin Ke Jaise' dan 'Nasha Yeh Pyaar Ka', lagu ini pun ceduk daripada lagu orang. Yang ini sumbernya adalah lagu Itali bertajuk 'Come Vorrei'.



'Come vorrei' adalah sebuah lagu nyanyian kumpulan 'Ricci e Poveri' yang diterbitkan sebagai 'single' pada tahun 1981. Ia sebenarnya diambil daripada album kumpulan itu bertajuk 'E penso a te' yang tidak diterbitkan.


3. Lagu tema Tetris = Korobeiniki (Rusia)



Dengar sahaja dah tahu apa 'game'nya (generasi selepas 90-an mungkin tak tahu). Permainan video 'legend' ciptaan Alexey Pajitnov pada tahun 1984 ini hanya menggunakan irama. Asalnya tak ada muzik latar, sehinggalah versi yang dikeluarkan Nintendo Entertainment System (NES) pada 1989 mengambil muzik Rusia.



'Korobeiniki', atau juga dpanggil 'Korobushka', adalah lagu rakyat Rusia yang berakar pada kurun ke-19 yang asalnya sebuah puisi nukilan Nikolay Nekrasov pada 1861. 


4. Those Were The Days (Mary Hopkin) = Dorogoi Dlinnoyu (Rusia)



Mereka yang pernah hidup di zaman 60/70-an pasti tahu lagu ini. Ia merupakan lagu single debut penyanyi UK, Mary Hopkin yang diterbitkan ahli The Beatles, Paul McCartney pada 1968. Menghuni tempat kedua di Billboard Hot 100 tahun itu di belakang lagu 'Hey Jude'. Ia sebenarnya lagu Rusia yang diletakkan lirik Inggeris oleh pemuzik Amerika, Gene Raskin yang membesar mendengar lagu itu.



'Dorogoi Dlinnoyu' adalah lagu cinta digubah oleh Boris Fomin sementara liriknya ditulis Konstantin Podrevsky. Ia pertama kali dirakam adalah pada 1925 nyanyian penyanyi Georgia, Tamara Tsereteli, kemudian oleh penyanyi Rusia, Alexander Vertinsky pada tahun berikutnya.


5. Ku Ingin Bahagia (Rina Rahman) = Akai Unmei (Momoe Yamaguchi)



Lagu 'Ku Ingin Bahagia' ini cukup 'top' era 70-an. Dinyanyikan oleh Rina Rahman, ia dirakam pada 1978, empat tahun selepas lagu hit Jepun 'Akai Unmei' mengungguli carta-carta negara-negara sekitarnya sampai ke Malaysia. (tak banyak maklumat tentang Rina Rahman dan butiran tentang penerbitan lagu ini. Kerja-kerja pendokumentasian di Malaysia sangat memerlukan penambahbaikan) 



Pada tahun 1974 hingga 1980 di Jepun, ada satu siri drama televisyen bertajuk 'Akai'. Di bawah siri itu, ada sepuluh cerita yang disampaikan dalam beberapa episod. Salah satu daripada cerita itu adalah 'Akai Unmei' yang bersiaran dari April-Oktober 1976. Ia dibintangi oleh Momoe Yamaguchi yang turut menyanyikan lagu tema bagi siri tersebut, dengan tajuk sama.


BONUS

Kisah Kau dan Aku (Alleycats) = Dancin' All Night (Monta & Brothers)



Pada awal kemunculan mereka, album-album kumpulan Alleycats memang banyak memuatkan lagu-lagu 'cover'. 'Kisah Kau dan Aku' adalah satu daripadanya, dirakamkan sebagai sebuah 'single' yang dimuatkan dalam album 'Alleycats 4' terbitan 1981.



April tahun sebelum album Alleycats 4 diterbitkan, lagu 'Dancin' All Night' dicipta Yoshinori Monta sebagai usaha terakhirnya dalam bidang muzik yang sebelum itu suam-suam kuku. Lagu ini melonjak ke persada carta radio Jepun dan kekal di atas selama 10 minggu dengan lebih 2 juta salinan terjual, ia menjadi 'Song of the Year 1980'.


Jadi, kalian lebih suka versi 'cover' ke 'original'?

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu