BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Selasa, 30 Jun 2020

Pernah dengar lagu-lagu ini? Dengar lagu asalnya (Siri 1)

Dengan usia Bumi yang mencecah 4.543 bilion tahun, tiada yang 'original' pada hari ini. Segala karya yang terhasil pasti terinspirasi daripada sesuatu kejadian atau peristiwa yang terlebih dahulu berlaku sekitar kehidupan pengkarya itu.

Malah sejak dari awal hikayat kewujudan manusia, mereka belajar sesuatu daripada alam. Qabil meniru perlakuan gagak untuk mengebumikan adiknya Habil yang dibunuh dengan tangannya sendiri.

Azalinya manusia ini sifatnya memang meniru. Begitupun, peniruan itu harus dilakukan dengan bermaruah. Minta izin, atau mengolah idea yang diperoleh daripada sesuatu itu ke dalam acuan sendiri. Kalau tidak, namanya plagiat.

Lapangan seni khususnya tidak dapat lari daripada terinspirasi oleh karya orang lain. Dalam filem misalnya, ramai pembikin 'meniru' daripada karya-karya terdahulu. Jean-Luc Godard menerapkan teori teater Bertolt Brecth dalam filemnya, 'framing' simetri Wes Anderson diinspirasi daripada Stanley Kubrick, antara contoh.

Muzik apatah lagi, banyak elemen yang dikitar semula dari segi komposisi atau teknik transisi. Malah ada juga yang 'ditiru' bulat-bulat, namun tidak diketahui oleh khalayak kerana sumbernya berasal dari zaman dan latar budaya yang berbeza.

Ini adalah antara lagu yang cukup popular dan mungkin anda pernah dengar, dan dari mana sebenarnya lagu-lagu ini asalnya. Dengar dan bandingkan.


1. Kali Nagin Ke Jaise (Mann) = Ya Rayah (Dahmane El Harrachi)



'Kali Nagin Ke Jaise' adalah salah satu lagu yang ada dalam filem 'blockbuster' Hindustan terbitan 1999, Mann. Malah, filem lakonan Aamir Khan, Rani Mukherjee dan Manisha Korailaini ini juga diadaptasi daripada filem Amerika bertajuk 'An Affair to Remember' terbitan 1957. Dinyanyikan oleh Udit Narayan dan Kavita Krishnamurthy, lagu hit ini 'sebiji' macam lagu Arab bertajuk 'Ya Rayah'.



'Ya Rayah' asalnya dinyanyikan buat pertama kali pada 1973 oleh penyanyi Algeria, Dahmane El Harrachi yang diilham daripada muzik tradisional dipanggil 'Chaabi. Kemudian pada 1993, penyanyi Perancis kelahiran Algeria, Rachid Taha merakam versinya sebelum dimuatkan dalam album kompilasinya 'Carte Blance' pada 1997.


2. Nasha Yeh Pyaar Ka (Mann) = L'Italiano (Toto Cutugno)



'Nasha Yeh Pyaar Ka' nyanyian Udit Narayan turut menjadi lagu hit daripada filem 'Mann' yang popular pada tahun 1999 di negara yang mempunyai khalayak peminat filem Hindi termasuk Malaysia. Tidak ramai tahu ia 'diceduk' daripada lagu Itali, 'L'Italiano'.



'L'Italiano' merupakan lagu pop Itali nyanyian Toto Cutugno yang diterbitkan pada tahun 1983. Lagu hit antarabangsa ini semakin dilupakan ketika dekad 90-an, tetapi kembali popular apabila Cutugno menyanyikannya kembali dalam satu konsert amal di Rom sempena meraikan kejayaan Itali menjulang Piala Dunia FIFA 2006.


3. Pretty Woman (Kal Ho Naa Ho) = Pretty Woman (Roy Orbison)



Lagu 'Pretty Woman' adalah antara runut bunyi yang mengisi jalan cerita 'Kal Ho Naa Ho' dibintangi Shah Rukh Khan dan Preity Zinta. Walaupun tidak sepenuhnya diceduk, bagaimanapun bahagian korusnya jelas menyamai irama pop era 60-an dendangan Ray Orbison dengan tajuk sama.



Ray Orbison menulis lagu 'Pretty Woman' bersama Bill Dees untuk diterbitkan sebagai single pada Ogos 1964. Rakaman tersebut terjual sebanyak tujuh juta salinan, dan disenarai sebagai lagu di tempat keempat paling teratas sepanjang tahun tersebut oleh Billboard.



4. ABCD (Hum Saath-Saath Hain) = Porque Te Vas (Jeanette)




Lagu yang menyebut satu-satu abjad dari A sampai Z sememangnya mudah untuk diingati, dan mustahil untuk kalian tak pernah mendengarnya. Filem lakonan Salman Khan, Saif Ali Khan, Karisma Kapoor, Tabu dan Sonali Bendre ini diterbitkan pada tahun 1999. Rupanya melodi lagu ABCD ini diambil dari lagu Sepanyol.



'Porque Te Vas' merupakan lagu berbahasa Sepanyol yang ditulis oleh José Luis Perales dan dinyanyikan oleh Jeanette, diterbitkan sebagai single pada 1974. Lagu ini dianggap sebagai lagu yang paling masyhur dalam sejarah muzik pop Sepanyol, karya klasik yang mempunyai 'cult status' tersendiri.


5. Alangkah Indah Di Waktu Pagi (Ali Baba Bujang Lapok) = Kâtibim (Turki)




Filem 'Ali Baba Bujang Lapok' adalah hasil karya P.Ramlee pada tahun yang jelas diinspirasi daripada elemen-elemen dari Timur Tengah. Antara yang paling jelas adalah lagu 'Alangkah Indah di Waktu Pagi' yang didendangkan oleh seniwati Normadiah, sama dengan lagu Turki, 'Kâtibim'.



'Kâtibim', atau juga dikenali dengan 'Üsküdar'a Gider Iken' adalah lagu rakyat Turki yang asal penciptaannya tidak diketahui bila, tapi dipercayai berakar dari zaman kegemilangan Empayar Uthmaniyah (1299-1924).

Persoalannya, pada ketika akses kepada arkib muzik dunia yang sangat terbatas pada tahun 1960 (tahun filem Ali Baba Bujang Lapok diterbitkan), bagaimana irama tradisional Turki ini boleh sampai ke telinga P.Ramlee? Khazanahnya sangat luas, kerana itu beliau seniman agung yang tiada galang gantinya.

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu