BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Khamis, 13 Ogos 2020

Kenapa bom atom digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki?


Amerika Syarikat meletupkan dua bom nuklear di dua bandar Jepun, Hiroshima dan Nagasaki masing-masing pada 6 dan 9 Ogos 1945 dengan kebenaran United Kingdom sepertimana mengikut Perjanjian Quebec, sebuah pakatan rahsia antara dua negara tersebut.


Pengeboman itu membunuh 129,000 hingga 226,000 nyawa yang sebahagian besarnya adalah orang awam. Hanya 20,150 daripada angka tersebut adalah anggota tentera Jepun.


Di penghujung Perang Dunia Kedua, angkatan Bersekutu bersiap untuk menjajah Jepun. Selepas Jerman menyerah kalah pada 8 Mei 1945, mereka mengalihkan sepenuh perhatian kepada episod di wilayah Pasifik.


Mereka menyediakan terma yang dipanggil Deklarasi Postdam untuk diikuti Angkatan Tentera Empayar Jepun dan menyerah kalah, dan mengugut bahawa 'kemusnahan dahsyat' akan menimpa jika Jepun tidak menandatangani deklarasi tersebut. Namun, Jepun enggan tunduk.


Asalnya, mereka mencadangkan lima buah bandar sebagai sasaran untuk digugurkan bom. Jawatankuasa Sasaran menyenaraikan Kokura (kini Kitakyushu), tempat pembuatan peluru terbesar Jepun; Hiroshima, pelabuhan, pusat perindustrian dan tempat ibu pejabat utama ketenteraa; Yokohama, bandar pembuat pesawat, peralatan mesin, kelengkapan elektronik dan kilang penapisan minyak; Niigita, pelabuhan dengan fasiliti perindustrian besi dan aluminum; serta Kyoto, pusat utama perindustrian.


Bagaimanapun, Setiausaha Perang AS, Henry L. Stinson menggesa supaya Kyoto dikeluarkan daripada senarai tersebut, kerana dia sangat mengagumi sejarah, keagamaan dan kebudayaan bandar tersebut. Ia mendapat kelulusan Presiden, Harry S. Truman maka satu lagi bandar pelabuhan, Nagasaki dipilih sebagai ganti.


Pada 6 Ogos, sebiji bom uranium seberat 4,400 kg sepanjang 3 meter diberi nama 'Little Boy' dibawa oleh pesawat pengebom B-29 bernama 'Enola Gay' dan dilepaskan di Hiroshima pada jam 8.15 pagi waktu tempatan. Kerana angin lintang, 'Little Boy' tersasar sedikit daripada sasaran asalnya iaitu Jambatan Aioi sebaliknya tepat mengenai Hospital Shima. 


Little Boy.


Little Boy melepaskan tenaga kuat dengan radius kemusnahan seluas 1.6 km dan kesan letupan sehingga 11 km. Itu pun bukanlah kekuatan letupan yang sepatutnya, kerana hanya 1.7% sahaja uranium di dalam bom itu terbelah (fission).


Majoriti panglima perang Jepun tersentak, tetapi tetap tidak mahu tunduk kepada tuntutan tentera Bersekutu. Admiral Soemu Toyada, Ketua Kakitangan Am Tentera Laut Jepun, menjangka tidak akan ada lebih daripada dua bom yang disediakan. Jepun memutuskan untuk bertahan dan meneruskan perang.


Menyedari Jepun tidak menunjukkan sebarang tanda untuk menyerah, tentera Bersekutu mengeluarkan arahan supaya sebiji lagi bom dilepaskan ke sasaran seterusnya, Nagasaki. 


Tepat jam 11.01 pagi waktu Jepun pada 9 Ogos, bom plutonium diberi nama 'Fat Boy' seberat 4,670 kg sepanjang 3.3 meter yang dibawa pesawat B-29 'Bockstar' dilepaskan. Letupannya menyebabkan kemusnahan seluas 1.6 km dan kesan kebakaran sehingga 3.2 km. 


Fat Boy.


Begitupun, Menteri Perang Jepun, Korechika Anami bersama empat menteri berkeras untuk tidak menyerah kalah. Perdebatan hangat dalam majlis perang Jepun berakhir apabila Maharaja Jepun, Hirohito bertitah agar Jepun menyerah dan tunduk kepada tuntutan tentera Bersekutu dengan dengan satu syarat  - sistem beraja di Jepun dikekalkan. 


Jepun dengan rasmi mengibar bendera putih pada 15 Ogos, enam hari selepas pengeboman Nagasaki. Mereka menandatangani instrumen penyerahan di Teluk Tokyo pada 2 September, sekaligus menamatkan Perang Dunia Kedua.


Pengeboman itu meninggalkan kesan yang cukup mendalam terhadap warga Jepun sehingga hari ini, terutamanya mereka yang terselamat daripada peristiwa ngeri itu. Sekitar 650,000 orang dikenal pasti sebagai 'hibakusha', terma untuk mereka yang terselamat daripada pengeboman itu. Hari ini, dianggarkan ada 136,682 hibakusha yang masih hidup, 1 % daripada mereka hidup dalam kesakitan kesan radiasi.


Antara mayat anak kecil yang rentung kesan letusan.

Kubah Genbaku di Hiroshima selepas pengeboman.

Hiroshima selepas dibom.

Runtuhan kuil lama di Nagasaki pasca pengeboman.


Tindakan tentera Bersekutu melepaskan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki masih diperdebatkan. Ramai termasuk para sejarawan menyifatkan tindakan Amerika dan sekutunya sebagai tidak bermoral, satu jenayah terbesar perang dan keganasan negara. 


Antara hujah Amerika adalah mereka membangunkan bom nuklear untuk menakutkan Kesatuan Soviet, yang dianggap ancaman yang lebih besar dan bahaya pada peringkat awal Perang Dingin. Pada masa sama, mereka menyatakan jika Jepun tidak dibom, perang akan berlarutan dan lebih banyak nyawa akan terkorban. 


*Sumber gambar: Wikipedia

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu