Mona Lisa dianggap sebagai karya seni lukis yang teragung antara semua lukisan-lukisan masyhur yang pernah dihasilkan sepanjang sejarah peradaban manusia.
Malah sebelum ia siap dilukis oleh Leonardo da Vinci pada tempoh antara tahun 1503 hingga 1517, ia sudah menjadi buah mulut khalayak. Kenapa?
Kalau dilihat imejnya, ia hanya memaparkan seorang wanita berpakaian sederhana, sopan dan tiada gemerlapan barang kemas di telinga, leher mahupun pergelangan tangannya. Jadi apa yang membuatkan lukisan ini begitu masyhur?
Tiada keraguan bahawa Mona Lisa adalah sebuah lukisan yang sangat baik. Memetik kata seorang lagi pelukis Itali, Giorgio Visari, keunggulan Da Vinci adalah kebolehannya menyalin alam semula jadi ke dalam lukisannya. Kehalusan tekniknya membuatkan lukisan ini nampak sangat 'hidup'.
Para sarjana berpendapat bahawa kemasyhuran Mona Lisa tidak cukup sekadar disebabkan oleh kualiti tinggi penghasilannya. Misteri yang menyelubungi cerita di sebalik lukisan itu yang membuatkan ia tetap diperbincangkan sehingga hari ini.
Siapakah identiti Mona Lisa itu? Ada yang percaya dia adalah Lisa Gherardini, isteri seorang saudagar Florence, Francesco del Giocondo. Tapi tiada rekod menyatakan saudagar itu mengkomisyenkan Leonardo untuk melukis isterinya.
Ada juga yang mengatakan dia adalah seorang penggoda, malah juga seekor pontianak. Tidak kurang juga ada yang merasakan Mona Lisa itu adalah cerminan Leonardo versi wanita. Sampai ke sudah tiada siapa tahu siapakah Mona Lisa itu.
Sebenarnya Mona Lisa adalah sebuah lukisan yang tidak siap. Pada 1516, Raja Francis I yang dikenali sebagai seorang patron seni, menjemput Leonardo untuk berkarya di Perancis di bawah naungannya. Leonardo membawa bersama lukisan Mona Lisa dan menyambungnya di sana. Sekitar 1517, tangan kanan Leonardo menjadi lumpuh, menjadi asbab mengapa lukisan itu tidak disiapkan. Dua tahun kemudian, dia meninggal dunia.
Mona Lisa kemudian menjadi sebahagian daripada koleksi Raja Francis I di Istana Fontainebleu. Ketika pemerintahan Raja Louis XIV, ia dipindahkan dan dipamerkan di Istana Versailles sehinggalah berlaku Revolusi Perancis di mana seluruh koleksi diraja ditukar menjadi milik rakyat oleh Napoleon Bonaparte. Sejak itu, ia dipamerkan di Muzium Louvre sampai hari ini.
Selain ketertinggian kualiti dan kehalusan pembuatannya serta misteri di sebalik subjek lukisan ini, peristiwa dahsyat yang menimpa Mona Lisa juga menjadi penyumbang terbesar kepada kemasyhurannya.
Sebelum 21 Ogos 1911, Mona Lisa tidaklah begitu diketahui di luar Eropah. Namun keesokan harinya, ia menjadi tajuk besar berita apabila karya agung Leonardo itu didapati hilang dari tempatnya. Seluruh dunia gempar dan Muzium Louvre di'serang' khalayak yang ingin melihat ruang kosong yang ditinggalkan itu.
Selama dua tahun penyiasat dan detektif mencari keberadaannya tidak diketahui, sehinggalah seorang penjual beli karya seni di Itali, Giovanni Poggi mendapat surat daripada seorang individu dengan nama Leonardo yang mahu menjual lukisan masyhur itu. Pendedahan itu membawa penangkapan pencuri lukisan tersebut yang bernama Vicenzo Perugia.
Rupa-rupanya, Perugia pernah bekerja di Muzium Louvre dan dia antara kakitangan yang ditugaskan membuat dan memasang kaca pelindung potret itu. Dia menjalankan pencurian itu ketika waktu biasa, menyembunyikannya di dalam ruangan simpanan penyapu sebelum membawa lari lukisan itu di dalam kotnya selepas muzium ditutup.
Ketika perbicaraan, Perugia menyatakan motif tindakannya itu adalah untuk membalas dendam bagi pihak Itali dan beranggapan lukisan itu sepatutnya menjadi hak milik negara kelahiran Leonardo Da Vinci itu. Walaupun patriotismenya disanjung di Itali, dia dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan.
Potret Mona Lisa sempat ditayangkan di Itali selama lebih setahun sebelum dikembalikan kepada Louvre pada 4 Januari 1914. Sejak itu, ia berada di bawah kawalan tahap tinggi, dilindungi kaca kalis peluru dalam kawasan yang berada di bawah pengawasan puluhan kamera litar tertutup.
Ia juga berada di bawah pelindungan insurans bernilai AS$100 juta pada 1962 (bersamaan $650 juta pada 2018), memegang Rekod Dunia Guinness sebagai lukisan paling bernilai.
Jelajah ke Amerika Syarikat pada 1963 dan ke Jepun sebelas tahun kemudian melonjakkan lagi status selebriti potret yang hanya bersaiz 77 cm x 55 cm itu. Mona Lisa berlayar ke AS dalam kabin kelas pertama dan menarik sehingga 40,000 pengunjung ke Muzium Metropolitan, NewYork dan National Gallery of Art, Washington, D.C sepanjang enam minggu pamerannya.
Demikianlah cerita kehidupannya yang panjang dan berliku, di samping ketertinggian kehalusan karya seni oleh seorang genius, yang menjadikan Mona Lisa lukisan paling masyhur sepanjang zaman.
*Sumber: Wikipedia, History Channel, Britannica