BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Khamis, 24 September 2020

Aokigahara, hutan yang sentiasa dahagakan nyawa manusia


Di barat laut kaki Gunung Fuji, terbentang panorama seakan lautan hijau meliputi 30 kilometer persegi. Pemandangan dari atas ini yang memberikan hutan Aokigahara nama samarannya - Jukai, yang bererti 'Lautan Pokok'.

Hutan tebal ini tumbuh dari tanah berbenggol-benggol, yang terbentuk daripada pengerasan lahar yang dimuntahkan Gunung Fuji ketika letusan terakhirnya pada 1,156 tahun yang lalu. Biarpun menjadi rumah pelbagai flora dan fauna, Aokigahara adalah sebuah tempat celaka bagi manusia.

Secara semula jadinya hutan ini memang cukup menyeramkan. Pepohonnya tumbuh rapat-rapat, sehinggakan tiada sinar matahari yang sampai ke tanahnya yang diselaputi lumut dan dedaun kering. Begitu sunyi, sekaligus membangkitkan rasa suram yang menyeret jiwa ke lembah melankolia yang cukup dalam.

Masyarakat mempercayai hutan ini berhantu dan sesiapa yang memasukinya tidak akan keluar buat selamanya. Ini kerana Aokigahara menjadi lokasi pilihan utama para jiwa malang menamatkan riwayat mereka sejak dahulu kala. 

Menurut riwayat orang setempat, Aokigahara adalah tempatnya di mana ubasute dilunaskan - amalan dongeng yang meninggalkan orang tua ke tempat terpencil dan membiarkan mereka mati di situ. Dikatakan legenda ini wujud sebagai jalan akhir untuk mengurangkan tanggungan ketika berdepan kemiskinan yang terlalu mendesak. Masyarakat percaya, roh mereka yang tidak tenteram itu berlegar di hutan tersebut sebagai hantu dipanggil sebagai yurei.

Yurei, roh tidak tenteram yang dipercayai meresap ke dalam pokok-pokok dan tanah Aokigahara.

Mungkin yurei yang menghantui Aokigahara ini yang menggamit jiwa-jiwa kosong untuk menamatkan riwayat mereka di situ. Setiap tahun, berpuluh mayat ditemukan oleh para sukarelawan yang membersihkan kawasan hutan ini. Itu yang jumpa, yang tersembunyi dalam ketebalan hutan ini entah berapa lagi.

Dipercayai juga, mayat yang ditemui perlu dibawa ke rumah simpanan mayat di pinggir hutan tersebut sebelum diambil oleh pihak berkuasa. Dan mayat tersebut perlu ditemankan, kerana jika dibiarkan sendiri, yurei akan merasuk dan menyebabkan mayat tersebut menjerit dan bergerak dengan sendiri.

Budaya bunuh diri di Jepun bukanlah sesuatu yang baharu. Sejak dahulu kala, tradisi seppuku merupakan simbol maruah khususnya oleh para samurai yang rela mati di tangan sendiri daripada gugur di tangan musuh, atau sebagai menebus malu daripada kesilapan yang dilakukan. Walaupun ia tidak lagi diamalkan hari ini, semangatnya masih 'hidup' di tanah matahari terbit itu.

Lautan Pepohon yang terbentang luas di kaki Gunung Fuji.

Di sebalik keunggulan dan kemajuan teknologinya, Jepun adalah negara dengan kadar bunuh diri tertinggi di dunia. Sejak 1970, pihak berkuasa mula menjalankan pencarian mayat tahunan, dan berhenti melaporkan bilangan kes bunuh diri yang berlaku di Aokigahara bagi menamatkan publisiti negatif tempat itu. Data terakhir dikeluarkan pada 2003 mencatatkan 105 kematian pada tahun tersebut. 

Ekoran reputasinya, pihak berkuasa melakukan pelbagai usaha untuk memujuk mereka yang berhasrat untuk mengakhiri hidup di situ. Rondaan dikerapkan, kamera pemantauan dipasang, dan papan tanda direntang dengan seruan seperti "Nyawa anda adalah sesuatu yang sangat berharga yang dikurniakan oleh ibu bapa anda", dan "Fikirkan tentang ibu bapa, adik beradik dan anak anda sekali lagi." Bersamanya disertakan talian hayat dengan harapan mereka akan berubah fikiran.

Papan tanda seruan dipasang di sekitar Aokigahara dengan harapan dapat memujuk para jiwa malang daripada mensia-siakan nyawa mereka.

Reputasi Aokigahara sebagai lokasi bunuh diri menjadi semakin popular susulan sebuah novel tragedi pada 1961 yang ditulis Seichō Matsumoto berjudul Nami no Tō. Ia menceritakan seorang wanita yang gagal bercinta patah hati lalu memutuskan untuk menamatkan riwayatnya di hutan tersebut. Ia diburukkan denfgan penghasilan sebuah lagi buku bertajuk The Complete Suicide Manual yang menyatakan bahawa Aokigahara adalah lokasi strategik dan sempurna untuk membunuh diri.

Bagaimanapun bukan orang yang membunuh diri sahaja yang datang ke sini. Para pengembara dan pelancong datang untuk mengalami keseramannya, juga keindahan di sebaliknya seperti Gua Ais Narusawa, Gua Angin Fugaku dan Gua Kelawar Tasik Sai.

Selalunya pengembara meninggalkan jejak dengan pita panjang supaya tidak tersesat dalam persekitaran Aokigahara yang mengelirukan. Begitupun, ada cerita bahawa mereka yang tidak bernasib baik tidak terlepas daripada diperdaya yurei yang menghantui hutan ini.

Tebal dan mengelirukan, menjadikan Aokigahara tempat strategik untuk membunuh diri.

Dikatakan, sukar atau hampir mustahil untuk mendapat capaian perkhidmatan telefon apabila berada jauh di dalam hutan ini. Malah, kompas juga dikatakan berpusing-pusing ke pelbagai arah. Fenomena itu dijelaskan terjadi kerana kecelaruan medan magnet daripada tanah gunung berapi yang membentuk hutan itu. 

Apa pun penjelasannya, siapa yang mengetahui ceritanya tidak akan sesekali mendekati hutan ini, yang sentiasa dipercayai menjadi sarang kediaman semangat jahat yang sentiasa dahagakan nyawa manusia.

Sumber: Wikipedia, National Geographic, Atlas Obscura, Tsunagu Japan, Mental Floss

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu