BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Rabu, 23 September 2020

Golongan gay paling tinggi penyumbang HIV di Malaysia



Jangkitan HIV yang disebabkan oleh hubungan seksual lelaki dengan lelaki (sejenis, gay) meningkat dengan mendadak di negara ini.


Data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan pada 2018, 57 peratus daripada kes transmisi HIV berpunca daripada hubungan seksual lelaki dengan lelaki, berbanding hanya lima peratus pada 1998.


Jumlah pada 2018 itu adalah lebih tinggi daripada jangkitan yang berpunca daripada penagihan dadah, yang jatuh mendadak kepada tiga peratus pada 2018, berbanding 61 peratus yang dicatatkan pada 1990.


Kenapa ini berlaku? Bagaimana kita boleh mencegahnya?


Ya, kami tahu, bagi orang ramai, kekurangan didikan agama dan isu moral adalah punca utama, tetapi lebih besar daripada itu adalah topik kesihatan seksual juga penting dalam mencegah perkara ini.


Masyarakat kita sering menganggap topik hubungan seks ini sebagai pantang larang atau taboo di negara ini.


Kalau boleh, ramai yang mengelak topik ini dibincangkan, lagi-lagi dalam situasi formal.


Data KKM mengenai transmisi HIV


Pengamal Kesihatan Seksual, Dr Rachel Winston menganggap peningkatan itu berlaku oleh kerana budaya pengasingan dan stigma terhadap golongan homoseksual, sehingga menyebabkan mereka takut untuk ke hadapan dan mendapatkan bantuan. 


"Contoh, perbuatan liwat yang salah di sisi undang-undang Malaysia akan menyebabkan seseorang lelaki yang mempunyai hubungan seks dengan lelaki lain dan kemudian dijangkiti HIV, teragak-agak untuk mendapatkan bantuan pengamal perubatan oleh kerana takut distigmakan," kata Dr Rachel dalam temu bual bersama Rancak TV, pada Rabu. 


Menurutnya, jika masyarakat sudah melihat perbuatan itu sebagai salah laku atau kesalahan moral dan bukan sebagai isu kesihatan, lebih sukar untuk mereka mencari penyelesaian dari akar umbi. 


"Masyarakat tidak seharusnya melihat HIV sebagai satu titik tamat, sebaliknya harus membincangkan cara-cara pencegahan seperti kepentingan memakai kondom, apakah risiko jika tidak memakai kondom, apakah jenis-jenis profilaksis (ubat pencegahan/pengawalan penyakit) dan bagaimana kegunaan ubat pre-exposure prophylaxis atau PrEP dalam mengurangkan risiko dijangkiti virus," tambahnya. 


Ia juga penting untuk kita memperkenalkan pendidikan seksual kepada masyarakat sejak awal bagi menggalakkan budaya bertanya soalan berkaitan subjek berkenaan tanpa merasa malu atau takut. 


Kata Dr Rachel, pendidikan mengenai subjek itu sebaik-baiknya dilakukan ibu bapa atau penjaga kerana pendidikan awal yang bermula dari rumah akan lebih senang dihadam dalam minda anak kecil dan dipraktikkan sehingga dewasa. 


"Oleh kerana media sosial kini lebih maju, anak muda akan lebih mudah terdedah kepada pelbagai perkara yang boleh menyebabkan mereka curiga. 


Jika ibu bapa lebih terbuka untuk membincangkan dengan anak mereka tentang persoalan yang mereka ingin tahu tentang proses pembesaran mereka, ia mampu membantu mereka fahami dunia seadanya berbanding mempelajari dengan cara-cara yang tidak berfaedah," kata Dr Rachel. 


Selain pendidikan dari rumah, Dr Rachel juga menyokong pengenalan subjek pendidikan seksual di dalam bilik darjah bagi menggantikan subjek yang hanya memperkenalkan anatomi biologi manusia. 


"Mendidik masyarakat tentang implikasi hubungan seks yang tidak sihat, selain akibat yang boleh berlaku jika melakukan aktiviti seks tanpa perlindungan diperlukan agar mampu membantu mengurangkan isu penghamilan luar nikah, pembuangan bayi dan penularan penyakit kelamin (STD)", katanya.


Sekarang ni, golongan mana pun punca transmisi HIV, yang penting semua perlu pendidikan awal mengenai hubungan seks yang sihat dan jangan menghukum sahaja, sebaliknya kita terus mendidik untuk menjadikan dunia ini lebih baik.



Sumber foto: Robert V. Ruggiero @ Unsplash



Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu