Kebanyakan peradaban manusia diasaskan di atas tanah yang sedia ada permukaan stabil untuk berpijak dan langit luas untuk dijunjung. Tapi bagaimana pula sebuah komuniti besar menjalani kehidupan seharian di bawah tanah?
Dipercayai lebih 20,000 orang pernah hidup bersama di Derinkuyu, sebuah kota bawah tanah purba yang dipercayai antara yang terbesar di dunia. Ia terletak di wilayah NevÅŸehir, tengah Turki.
Kota ini dipercayai diasaskan sekitar kurun ke-8 atau ke-7 Sebelum Masihi, dikorek dan diukir daripada batuan gunung berapi oleh bangsa purba Phyrgia. Ia merupakan kompleks penempatan 18 tingkat sedalam 60 meter yang terdiri daripada bilik-bilik yang disambungkan dengan terowong.
Di antara bilik-bilik ini, dibentuk lohong-lohong berkedalaman sehingga 55 meter yang di dasarnya adalah telaga sumber air penghuni dan hujungnya terbuka ke permukaan untuk pengudaraan. Sistem keselamatannya juga dahsyat di mana setiap tingkat dibina pintu batu bulat golek yang boleh ditutup dari dalam.
Berdasarkan tinjauan sistematik dibuat Universiti NevÅŸehir menggunakan tomografi seismik dan ketahanan geofizikal, mereka menganggarkan kompleks ini adalah seluas hampir 460,000 meter persegi. Jika benar perkiraannya, ia merangkumi keluasan satu pertiga daerah Derinkuyu itu sendiri.
Ia kemudian digunakan oleh orang Kristian untuk menyelamatkan diri daripada pencerobohan angkatan Mongol yang dikepalai Jeneral Timur pada kurun ke-14. Selepas Turki ditakluk oleh tentera Uthmaniyah, kota ini menjadi tempat berlindung orang-orang asal.
Selepas orang Kristian disingkirkan dari Turki dan berhijrah ke Greece dalam pertukaran populasi antara dua negara itu pada 1923, kota bawah tanah Derinkuyu ditinggalkan sepi.
Sehinggalah pada 1963, seorang penduduk terjumpa bilik misteri ketika menebuk lubang pada dinding rumahnya. 40 tahun selepas ditinggalkan, kota tersembunyi ini kembali ditemui.
Tiga tahun selepas itu, kota purba bawah tanah Derinkuyu dibuka untuk kunjungan umum, begitupun hanya separuh daripada keseluruhan kompleks ini masih ditutup.
*Sumber: Atlas Obscura, Wikipedia, National Geographic