BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Rabu, 4 November 2020

Kenali dementia, penyakit yang membunuh James Bond


2020 menyaksikan satu lagi bintang gugur. Sean Connery merupakan pelakon yang datang dari penempatan daif di Edinburgh yang mengecap kemasyhuran sebagai James Bond yang pertama. Tidak keterlaluan untuk mengatakan beliau dianggap pelakon yang paling cocok memerankan watak Ejen 007.

Pada 31 Oktober tempoh hari, Connery menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Nassau, Bahamas pada usia 90 tahun. Isterinya memaklumkan kepada akhbar British, The Daily Mail bahawa sebelum pergi, Connery bergelut dengan dementia.

Micheline Roqueburne yang menjadi teman hidup Connery selama 45 tahun memberitahu yang suaminya tidak mampu untuk meluahkan sebarang rasa sepanjang beberapa bulan terakhir hayatnya. Pelakon hebat itu meninggal dunia dengan tenang dalam tidurnya.

Dementia bukanlah sejenis penyakit tunggal - seperti masalah jantung - ia merangkumi pelbagai komplikasi kondisi perubatan. Ia disebabkan perubahan abnormal pada otak manusia, yang mencetuskan kemerosotan kemahiran berfikir, kebolehan kognitif. Ia memberi kesan besar kepada tingkah laku, perasaan dan perhubungan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 50 juta orang di dunia ini menghidap dementia dan dianggarkan sekitar 10 juta lagi orang mula menghidapnya setiap tahun. Penyakit Alzheimer menyumbang kepada 60% hingga 80% kepada kes dementia, dan ada lebih 50 kes lagi yang berada di bawah kategori kondisi ini.

Dementia selalu dianggap sebagai nyanyuk. Sebenarnya ia satu kepercayaan umum yang salah bahawa kemerosotan serius mental adalah perkara normal apabila manusia menua. Tak semestinya.


Punca dementia

Keadaan ini secara amnya berlaku apabila berlaku kerosakan atau kehilangan sel saraf dan sambungannya ke otak. Ia disebabkan sesuatu berlaku pada otak yang menyebabkan pengaliran darah ke organ itu tidak normal. Antara puncanya adalah masalah kemerosotan neurologikal seperti penyakit Alzheimer, Parkinson, Huntington dan beberapa jenis multiple sclerosis. 

Kemalangan yang membawa kecederaan traumatik kepada bahagian kepala juga puncanya. Boleh jadi juga jangkitan pada sistem saraf pusat daripada penyakit seperti HIV, meningitis, dan penyakit Creutzfeldt-Jakob. Satu lagi adalah jenis tertentu pembentukan bendalir dalam otak yang dipanggil hydrocephalus.

Faktor fizikal dan gaya hidup tertentu juga membawa risiko lebih tinggi untuk menghidap dementia, seperti peningkatan usia, sejarah penyakit dalam keluarga, penyakit lain seperti kencing manis, sindrom Down dan apnea tidur, serta pengambilan alkohol dan rokok yang keterlaluan.

Tanda-tanda dementia

Biasanya ia bermula apabila seseorang itu mengalami masalah memori jangka pendek, seperti sering lupa di mana dia letakkan beg duit misalnya, atau terlupa temu janji, lupa bagaimana untuk melakukan satu-satu tugas ringkas dan mudah, berdepan kesukaran dalam keupayaan koordinasi anggota tubuh dan kesulitan dalam mencari perkataan ketika bertutur. 


Perubahan psikologi pula boleh dilihat apabila seseorang itu berubah personaliti, mula mengalami kemurungan, keresahan, tingkah laku yang tidak sesuai dengan keadaan sekeliling, paranoia malah berhalusinasi sebagai antara tanda-tanda yang boleh dilihat. Ia bermula kecil dan boleh memburuk saban hari. 

Merawat & mencegah dementia

Merawat dementia bergantung kepada puncanya. Dalam kes kebanyakan demetia progresif seperti penyakit Alzheimer, tiada penawar untuk melambatkan atau menghentikan perkembangannya. Sesetengah faktor risiko dementia seperti penuaan dan genetik tidak boleh diubah.Para saintis masih sedang berusaha mencari cara untuk merawat kondisi ini.

Begitupun, ia boleh dirawat di peringkat awal malah dicegah dengan mengubah gaya hidup kepada yang lebih sihat termasuk mengamalkan diet yang seimbang, sentiasa memastikan minda aktif dengan melakukan aktiviti yang mengasah minda, berhenti merokok dan pengambilan alkohol, kerap bersenam untuk melatih keupayaan kognitif tubuh dan dapatkan tidur yang cukup dan berkualiti supaya otak tidak 'barai'. 


Kalau anda rasa diri anda atau orang tersayang ada menunjukkan ciri-ciri seperti disebutkan di atas, pergilah buat pemeriksaan dengan doktor supaya ia boleh dicegah dan dirawat awal sebelum parah.

Rancak TV peduli.


*Sumber: Alzheimer's Association, The New York Times, MayoClinic, WebMD


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu