BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Rabu, 4 November 2020

Laika, makhluk Bumi pertama ke angkasa raya


Pada 4 November 1957, Kesatuan Soviet telah menghantar haiwan pertama ke angkasa lepas, iaitu seekor anjing bernama Laika menaiki kapal angkasa Sputnik 2.

Selepas kejayaan Sputnik 1 yang menjadi objek pertama yang dihantar manusia ke angkasa pada 1 Oktober tahun sama, pemimpin Soviet ketika itu Nikita Khrushchev mahu sebuah kapal angkasa dilancarkan pada 7 November sempena ulang tahun ke-40 Revolusi Bolshevik. Khrushchev mahukan satu lagi pencapaian yang menggemparkan dunia, mempamerkan keunggulan Soviet.

Sebenarnya sejak 1951 para jurutera roket Soviet telah melancarkan sekurang-kurangnya 12 ekor anjing ke ruang sub-orbit dalam penerbangan balistik. Ia sebagai pembuka jalan dalam persiapan untuk menghantar manusia pertama ke cakerawala.

Untuk memenuhi permintaan segera Khrushchev itu, mereka merangka sebuah perancangan yang agak tergesa-gesa untuk menghantar anjing mengorbit Bumi. Selain daripada misi utamanya untuk menghantar penumpang hidup ke luar atmosfera, Sputnik 2 juga dilengkapi instrumen untuk mengukur sinar kosmik dan radiasi solar.

Laika merupakan anjing kacukan yang hidup di jalanan bandar Moscow sebelum diambil dan 'dilatih' dalam program angkasa Soviet. Untuk membiasakan anjing tersebut dalam ruang kabin sempit, Laika diletakkan di dalam sangkar yang kecil secara progresif selama 20 hari.

Laika di dalam kokpit simulasi Sputnik 2. (foto: Space Answers)

Ia juga diletakkan di dalam pengempar (centrifuge) sebagai simulasi pecutan roket, juga diletakkan di dalam mesin simulasi bunyi bising dalam kabin kapal angkasa. Sepanjang latihan, anjing itu dibiasakan dengan makanan dalam bentuk gel.  

Sebelum berlepas dari Baikonur Cosmodrome, ia dibedah untuk memasang elektrod pada tubuhnya membolehkan para saintis di Bumi membaca nafas, denyutan nadi dan tekanan darahnya sebagai data tentang kesan biologikal daripada pengembaraan angkasa. 

Bagaimanapun hayatnya tak panjang, dan para saintis khususnya Vladimir Yazdovsky dan Oleg Gazenko yang melatihnya menyedari perkara itu lama sebelum misi dilancarkan. Selepas lima hingga tujuh jam penerbangan, tiada lagi isyarat hidup diterima dari kapal angkasa tersebut. Laika mati ketika orbit keempat kerana kepanasan dan panik.

Pengorbanan Laika dikenang selamanya sebagai pembuka jalan kepada penerokaan angkasa oleh manusia. (foto: Wikipedia)

Memori Laika diabadikan dalam bentuk patung dan plak di fasiliti latihan angkasawan Rusia di Star City. Monumen Penakluk Angkasa yang dibangunkan di Moscow juga memahatkan nama Laika di samping angkasawan-angkasawan lain. Setem dan sampul surat peringatan juga dihasilkan, begitu juga jenama rokok dan mancis yang dinamakan sempena anjing itu.

Misi angkasa Laika telah membuka laluan kepada pencapaian Soviet yang lebih besar, apabila berjaya menghantar Yuri Gagarin sebagai manusia pertama ke angkasa dan mengorbit Bumi menaiki pesawat Vostok 1 pada 12 April 1961.

*Sumber: History, Wikipedia


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu