Ditubuhkan pada 1894, Manchester City menyambut ulang tahun ke-125 tahun ini dan PUMA menjelmakan kembali memori lama kelab itu dengan sebuah Koleksi Kapsul.
Uniknya, koleksi memperingati tarikh bersejarah itu direka hasil kolaborasi para penyokong setianya dengan jenama pengeluar sukan dari Jerman itu, khususnya jersi utama pasukan yang diperagakan semasa City mengetepikan cabaran Liverpool untuk menjulang Perisai Komuniti 2019 di Wembley tempoh hari.
Minimal. Kemas. Tak semak macam papan iklan. - Sumber gambar footballfashion.org |
Para penyokong sebulat suara menerusi portal keahlian mereka untuk menentukan rekaan logo di dada, ‘positioning’ dan tona biru, bersama simbol kelab dan tulisan-tulisan komemoratif pada baju tersebut.
Jersi biru langit dengan kemasan trim putih dipengaruhi semangat era awal 70-an dan dengan disempurnakan elemen-elemen ‘anniversary’ termasuk replika dokumen penubuhan kelab yang ditampal pada bahagian tengkuk dan benang emas menyulam kiraan tahun penubuhannya.
Ada replika sijil pengesahan penubuhan kelab. Siapa cakap sijil tak penting? - Sumber gambar footballfashion.org |
Tiada tampalan logo para penaja utama setelah mendapat kebenaran dan sokongan sahabat prinsipalnya, Etihad Airway bersama penaja yang diiklankan pada lengan, Nexen Tire.
PUMA sebagai penaja pakaian kelab tetap ada, tetapi keberadaannya halus dengan sulaman benang biru untuk memadani tona langit keseluruhan jersi.
Selain jersi utama, Koleksi Kapsul PUMA itu turut dilengkapkan dengan kasut ROMA rekaan khas, juga jaket trek T7, topi, kemeja t dan replika bola kurun ke-19 yang setiap satunya disematkan teks memperingati tarikh bersejarah 16 April 1894.
Memang cun.
Bersempena sambutan ulang tahun kelahiran City, PUMA juga mengeluarkan siri poster yang memaparkan David Silva, pemain skuad wanita Gemma Bonner, legenda kelab Mike Summerbee dan Shaun Goater serta tiga pemain muda dari akademi iaitu Jeremie Frimpong, Joel Latibeaudiere dan Jess Park.
Penyokong istimewa, Lynn Radcliffe dan anjing pemandunya, Simba serta para wakil dari program komuniti kelab yang membantu kehidupan anak muda Manchester, ‘City in the Community’ juga tampil dalam video tersebut.
Not bad, Puma.