BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Khamis, 16 Januari 2020

5 fakta panas menjelang perhitungan Manchester United-Liverpool


Pertama kali diterbit pada 19 Oktober 2019

Boleh kata semua orang yang menonton bola sepak tahu tentang perseteruan ketat antara Manchester United dengan Liverpool, ia sehebat El Clasico antara Real Madrid dengan Barcelona.

Ketegangan North West Derby mempunyai sejarah yang panjang, dan mungkin takkan padam walau apa pun terjadi kepada dua kelab ini. Prestasi buruk atau cemerlang, pertemuan antara kedua-dua musuh ini tetap dinantikan.

Ahad ini The Red Devils dan Liverbird akan bertentang mata di Anfield. Sebelum arena pertarungan dibuka, ini nak cerita lima fakta yang perlu anda ketahui untuk menyelami kehangatan perseteruan dua kelab paling cemerlang di England ini.


1. Sejarah perseteruan dua kota

Mulanya permusuhan Manchester United dengan Liverpool ini bermula di luar padang sebenarnya, wujud sejak zaman perindustrian di mana kedua-dua kota ini saling bersaing dalam menjadi bandar utama di North West. Manchester maju dengan industri pembuatan manakala Liverpool pesat dengan pelabuhannya.

KIRI: Kesibukan di Pier Head, salah satu stesen pelabuhan di Liverpool. Sementara Manchester pula menjadi pusat penghasilan kapas utama England (KANAN) ketika era Revolusi Perindustrian.

Selain itu, dua bandar ini juga terkenal di seantero dunia sebagai tempat lahirnya kesenian terhebat England - seperti stail muzik Merseybeat dipelopori The Beatles dari Liverpool di era 60-an kemudian The Stone Roses dan Oasis mencetus fenomena Madchester sekitar 80-an. Bab muzik pun mereka gaduh rebut takhta.

Panjang cerita sejarah rivalry Man Utd dengan Liverpool ni. Segala aspek dan bidang berkait.

KIRI: Tak perlu diperkenalkan, semua orang tahu. KANAN: Kumpulan Oasis yang dikepalai Noel dan Liam Gallagher (tapi mereka berdua ini penyokong tegar Manchester City.)


2. Pantang nenek moyang pindah antara dua kelab!

Musim ini kita lihat David Luiz pindah dari Chelsea ke Arsenal. Walaupun kedua-dua kelab berpangkalan di London itu bermusuhan, tetapi ia tidak sedahsyat United-Liverpool kerana sudah 51 tahun tidak ada perpindahan terus pemain antara dua kelab ini.

Kali terakhir adalah pada 1964 apabila Phil Chisnall berhijrah dari Man Utd ke Liverpool. Memang ada selepas itu pemain yang menyarung jersi dua pasukan itu, seperti Michael Owen, Paul Ince dan Peter Beardsley, tapi mereka bermain di kelab-kelab lain dahulu sebelum menyertai kelab merah yang satu lagi.

Phil Chisnall (GAMBAR KECIL) bersama skuad Liverpool. Masa itu perseteruan tak sedahsyat hari ini, mereka hidup dalam pasukan yang harmoni.

Tapi ia tetap dilihat sebagai 'dosa besar'. Walaupun sebagai antara pemain muda terhebat pernah menyarung jersi Liverpool, sampai hari ini peminat tidak maafkan Owen kerana menyertai United selepas gagal menyinar di Real Madrid dan Newcastle. 


3. Matt Busby merupakan bekas kapten Liverpool!

Sir Matt Busby dianggap pengurus kedua paling cemerlang dalam sejarah United (selepas Sir Alex Ferguson) kerana jasanya membina semula pasukan selepas tamat Perang Dunia Kedua dengan skuad legenda dipanggil The Busby Babes.

Atas pencapaian unggulnya, United membina tugu patung gangsa di Old Trafford menghadap jalan yang juga dinamakan sempena bekas bos kelahiran Scotland ini, Sir Matt Busby Way.

Tapi tak ramai tahu bahawa Sir Busby pernah menjadi kapten Liverpool untuk lebih daripada setahun (1939-1940) ketika kariernya sebagai pemain.

Malah sebelum menyertai Liverpool pada 1936, Busby memulakan karier pemain profesionalnya bersama seteru tetangga, Manchester City pada 1928. 

Pencetus kemunculan Manchester United menjadi kuasa besar bola sepak England dipelopori Sir Matt Busby, yang mengisi kekosongan kerusi pengurus beberapa tahun selepas beliau menamatkan kariernya sebagai pemain.


4. Siapa lagi cemerlang?

Ini perdebatan yang takkan pernah tamat - kelab mana yang paling berjaya secara keseluruhan. Kalau ikut laman web FIFA, gelaran yang dikira adalah kejuaraan liga, Piala FA, Piala Liga, Liga Juara-Juara Eropah, Liga Europa, Piala Intercontinental, Piala Pemenang Piala Eropah, Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab FIFA.

Ini bermakna Liverpool ada 44 gelaran dikira sementara Man Utd di belakang mereka dengan 42 gelaran. UEFA pun guna perkiraan sama, cuma tolak Piala Dunia Kelab FIFA. Ikut peraturan UEFA, Liverpool kekal dengan 44 gelaran tapi United kurang satu, jadi 41.

Tapi kalau nak dikira semua sekali segala piala atau piring atau perisai yang dimenangi, United mengumpul 62 gelaran sementara Liverpool hanya 59 gelaran.

Klopp menambah koleksi Piala Eropah keenam kepada Liverpool, dan United cukup gah ketika 26 tahun dipimpin Sir Alex Ferguson.

Penyokong United pasti gahkan dengan 20 gelaran juara liga (13 Liga Perdana) dan mengejek Liverpool tidak pernah menang PL walaupun sudah julang 18 kali piala kejuaraan Divisyen Satu. Penyokong Liverpool pula sudah pasti katakan mereka lebih unggul kerana enam kali menguasai Eropah.

Terpulanglah, yang penting jangan bertumbuk. Dua-dua power.


5. Klopp tak pernah menang di Old Trafford

Ini merupakan North West Derby kedua musim ini bertempat di gelanggang keramat Liverpool, Anfield.

Walaupun kali ini boleh dikatakan musim terburuk United, mereka hanya kalah sekali daripada sebelas perlawanan di halaman sendiri ketika tewas kepada Crystal Palace 1-2.

Sementara Liverpool yang semakin cemerlang di bawah kendalian Jurgen Klopp, melakar 20 kemenangan daripada kesemua 21 perlawanan musim ini dan hanya seri 1-1 dengan United di Old Trafford pada Oktober 2019.

Liverpool juga masih belum tumpas di Anfield selepas 51 perlawanan di mana kali terakhir tewas kepada Crystal Palace 2-1 pada April 2017.

Klopp perlu elak kekalahan kepada musuh tradisi United di Anfield.

Tapi bola itu bulat, macam-macam boleh jadi, dan ini bukan perlawanan biasa-biasa.

Berapa agaknya scoreline di Anfield pada Ahad (awal pagi Isnin) ini? Kongsi ramalan anda dengan kami.

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu