BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Isnin, 7 Oktober 2019

Joker tidak akan wujud kalau…




Cuba anda bayangkan kalau anda tiada seorang pun ahli keluarga dan rakan kenalan, dibuang daripada punca mata pencarian yang hanya cukup makan, malah dijadikan bahan ejekan, dibuli, dijadikan beg tinju’ orang ramai hanya kerana anda ketawa tak kena masa kerana ada komplikasi sistem saraf?

Kita tidak akan langsung terbayang, kerana tidak pernah membayangkan bahawa dunia ini ada yang cerita hidupnya begitu. Jauh sekali buat sebahagian kita yang terlahir di atas dulang emas dan perak, yang tidak percaya dunia ini ada ‘seteruk’ itu dan hakikatnya begitu.

Aristokrat politikus pula mengambil kesempatan daripada kesempitan yang dilanda masyarakat, menabur janji bulan dan bintang di langit untuk membela mereka, walhal sekadar untuk merebut tampuk kekuasaan.

Arthur Fleck, seorang lelaki berkomplikasi mental yang ditekan kebobrokan moral masyarakat tidak merasakan dirinya wujud. Kerjanya sebagai badut hanya untuk cuba untuk mengukir senyuman pada orang sekelilingnya ketika mencari erti gembira yang tidak pernah dirasainya.

Tiada siapa lagi mendengar suaranya apabila rawatannya berakhir selepas pusat kaunseling diarah tutup oleh pemerintah negara yang kegawatan. Walhal wujud orang kaya raya seperti Thomas Wayne, cuba memenangi kerusi kepimpinan dengan menjual dendangan berbunyi ‘saya akan bawa rakyat keluar daripada kemiskinan.’

Dalam kerapuhan komuniti, rancangan hiburan menjadi eskapisme terpancar di kaca televisyen. Stesen juga mahu terus hidup, maka segalanya dihalalkan asal mendatangkan wang. Arthur yang mahu menjadi pelawak solo (stand-up comedian) dijadikan bahan jenaka program bual bicara popular, dan hosnya Murray Franklin memanggilnya ke studio selepas klip videonya membuat jenaka menjadi ‘viral.’

Dia hadapan ribuan penonton secara langsung, lahirlah Joker daripada letusan amarah yang cukup mendalam Arthur kepada dunia. Dengan solekan badut, Arthur rasa ‘bebas’ dan akhirnya merasakan dirinya wujud. Kini, dia disanjung sebagai ikon menentang aristokrat, digelar The Clown Prince of Crime.

"The worst part of having a mental illness is people expect you to behave as if you DON'T." Sumber: Warner Bros. Pictures

Sumber: Warner Bros. Pictures
Tidak ada yang baharu daripada filem persembahan halus Joaquin Phoenix arahan Todd Philips ini. Sebenarnya lebih kepada seakan melihat cermin besar kepada realiti.

Segala yang dipaparkan benar-benar berlaku, membuatkan kita kembali menyedari apa yang berlaku di sekeliling kita dalam dunia hari ini yang semakin merapat segala deria dan menghamba kepada skrin telefon bimbit.

Kita jadi kesian kepada Arthur. Terperangkap dalam kesamaran moral selepas kita dibawa memahami perjalanan tragis seorang lelaki yang mengubahnya menjadi manusia yang membunuh sesuka hati.

“Hanya kerana (calon datuk bandar) Thomas Wayne bersimpati atas kematian tiga orang stafnya, semua orang turut bersimpati. Kalau aku mati di tepi jalan, kalian akan melangkah memijak mayat aku,” kata Joker ketika bersiaran langsung bersama Franklin. 

Sumber: Warner Bros. Pictures
Joker membuat pengakuan bahawa dialah yang membunuh tiga orang staf Thomas Wayne itu, mengundang benci ribuan rakyat Bandar Gotham yang menonton. Namun tak siapa tahu bahawa merekalah yang mengejek dan membelasahnya, ketika dia baru sahaja dipecat.

Pembunuhan itu menjadi detik kemerdekaan jiwa Arthur, yang akhirnya merasakan itulah jalan yang membawanya keluar dari kedukaan. Rasa puas apabila tindakannya menjadi buah mulut seluruh warga kota. Akhirnya dia merasakan dirinya wujud.

Ya, ia hanya sebuah lagi filem ‘fiksyen’. Tetapi masalah mental itu benar.

Joker terlahir kerana tiada siapa mendengar suara Arthur, jauh sekali untuk memahaminya. Dia tiada langsung tempat untuk mengadu. malah dihina kerana pelik. Bayangkan, apa yang kalian akan lakukan sekiranya berada di tempatnya? Tak terbayang, kan?

Kita lebih mudah menghukum, tanpa mencari apa punca di sebalik tindakan seseorang.  Kita ada tabiat membenci, mengasing, memisah, dan menyapu segala masalah kita ke bawah tikar. Filem Joker menyingkap tikar itu untuk melihat sampah-sampah di bawahnya. Kita rasa ada sesuatu di bawah tikar ketika memijaknya, tetapi buat-buat tak ada apa-apa.

Joker adalah perlambangan hiperbola kepada kegilaan masyarakat sekiranya kebobrokan itu tidak dirawat. Tidak mustahil tekanan hari ini akan meletus bila-bila masa jika tidak ditangani dengan waras akal bertamadun. Lihat sahaja apa yang berlaku di Hong Kong. Macam dalam filem.

Seorang ‘Arthur Fleck’ tidak akan menjadi ‘Joker’ dalam masyarakat kita kalau kita tidak mementingkan diri. Kita menyedari bahawa kita memerlukan antara satu sama lain untuk terus hidup. Kita lebih mendengar dan memahami.

Namun, mustahil untuk kita melihat dunia ideal sebegitu. Kerana tanggapan itu, 'kebinatangan' terlepas bebas daripada kawalan 'kemanusiaannya'.

Ada kebaikan dan kejahatan dalam dunia ini, dan ianya bercampur aduk. Sukar untuk mengasingkan kedua-duanya.

Hanya harapan membuatkan manusia akan terus melangkah dan berusaha mencari kebahagiaan hidup di dunia ini, walaupun kegilaan itu takkan pernah dapat dipadamkan dan akan terus ada.

Jadi, faham tak lawaknya?

Sumber: Warner Bros. Pictures


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu