BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Sabtu, 9 November 2019

Semua mahu diharamkan, kirim salam pada kemajuan!


Oleh: Israr Khalid

Sekarang cerita pasal basikal lajak sedang kembali hangat, susulan keputusan kes kemalangan pada 2017 di Johor yang menyebab lapan budak yang menunggang basikal lajak terkorban.

Ada yang marah kerana pemandu yang melanggar budak-budak itu terlepas hukuman, ada yang berang dengan budak-budak yang 'merempit' tengah-tengah jalan mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

Mulalah tunding-menunding jari saling menyalahkan pihak itu ini. Mak bapak dituduh tak reti jaga anak-anak, kerajaan dikata 'tidur' tak buat kerja jalankan penguatkuasaan dengan lebih ketat.

Kalau semua tak mengaku, siapa yang bersalah sebenarnya?

Kita hidup dalam sebuah ekosistem besar di mana setiap satu antara kita saling berkait dan saling memerlukan. Seseorang itu peroleh kejayaan memang atas usahanya tetapi mustahil tiada orang lain di belakangnya.

Begitulah hakikatnya, jika kita berjaya kerana usaha bersama, dan jika mundur akal masyarakat ia kegagalan kita semua.

Banyak pihak minta basikal lajak diharamkan terus, maka ditubuhkan badan seperti Kadet JPJ untuk membedung 'gejala' itu di sekolah sekaligus mengklasifikasikan aktiviti itu sebagai jenayah yang boleh dikenakan hukuman berat.

Lupakah mereka bahawa yang bermain basikal lajak ini adalah daripada golongan pelajar sekolah? Mereka ini budak lagi, dan pada usia mereka seronok meneroka dunia dengan imaginasi dan kreativiti mereka.

Mengapa kita tidak melihat keindahan, keunikan dan potensi besar di sebalik kegilaan anak-anak kita bermain basikal lajak ini? Kita dapat lihat kreativiti anak-anak dalam mengubahsuai basikal mereka menjadi pelbagai bentuk, bermacam warna dan beraneka keupayaan.

Mereka juga penuh berani meluncur di atas jalan raya, yang gaya macam penunggang MotoGP pun ada!

Akuilah, kita semua yang sebenarnya merindukan semangat, kudrat dan tenaga yang kita ada ketika kita menjadi kanak-kanak. Ia adalah tempoh usia yang adrenalin pada kemuncaknya, akal suci sentiasa mahu meneroka.

Mengapa tidak kita menyalurkan tenaga pemain basikal lajak yang kita anggap 'negatif' ini menjadi sesuatu yang positif, menyediakan ruang untuk mereka melampiaskan kreativiti dan keberanian mereka dengan menyediakan litar-litar di setiap negeri misalnya?

Pada masa sama Mat-Mat Rempit juga boleh 'ditarik' dari jalan raya untuk bersama mengimarahkan litar yang telah dibina itu. Macam kata orang putih, killing two birds with one stone.

Dalam hal ini juga, pendidikan memainkan peranan yang amat penting dalam menerapkan keupayaan berfikir 360 darjah dalam akal anak-anak. Seiring penyediaan ruang mengekspresi, anak-anak di rumah dan di bangku sekolah juga harus dididik pemikiran mereka untuk waras dan sedar tentang kepentingan perihal keselamatan.

Semangat itu mungkin akan memudar, tapi ia takkan mati. Sama ada ia mahu terus dicap 'negatif' dan diperam dalam kurungan hingga pada satu hari meletus memberontak, atau ia diolah menjadi tenaga positif sebagai bahan bakar kepada enjin-enjin kemajuan agama, bangsa dan negara.

Kerja-kerja 'mengharamkan' apa sahaja tanpa dibaca sehalus-halusnya dahulu imbangan baik dan buruknya hanya akan membunuh kreativiti anak bangsa. Akhirnya kita akan melahirkan generasi manusia yang membosankan dan mundur jasmani serta rohani.

Kata mahu membangunkan industri permotoran bertaraf dunia dengan pelumba tempatan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa? Kalau itu haram, ini haram, kirim salam sahaja kepada kemajuan!

Nota: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi bayangan bahawa KBS komited dalam memastikan masa hadapan kanak-kanak dan remaja yang terlibat aktiviti basikal lajak agar lebih baik.

“Mereka ada dua kategori, di mana yang pertama adalah mereka yang suka mengubahsuai. Mereka ini kita boleh masukkan dalam IKBN dan IKTBN untuk mempelajari kimpalan dan sebagainya.

“Golongan kedua adalah mereka yang suka menguji kelajuan (need for speed). Tapi tak boleh lah jika tak ada brek.

Menurut beliau, adalah penting untuk memastikan minat kumpulan pemain basikal lajak disalurkan ke arah sesuatu yang lebih bermanfaat.

“Ini sesuatu yang KBS sudah lakukan sebelum insiden kemalangan membabitkan basikal lajak. Kita sudah laksanakan banyak bengkel latihan kepada kumpulan basikal lajak.

Baca laporan penuh di Astro Awani.

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu