BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Ahad, 29 Disember 2019

Kita kehilangan spesis ini pada 2019


Ketika kita mengejar masa depan, kita lupa bahawa dunia ini bukan dihuni oleh kita manusia sahaja.

Maka kita selalu pinggirkan hidupan dan mahkluk lain yang kita kongsi udara, tanah, air dan api bersama. Mungkin kita tidak begitu merasakan kesannya, tetapi alam ciptaan Tuhan bersama penghuni lain kita sakiti sedikit demi sedikit, hingga akhirnya ada yang hilang terus bersama masa.

Beberapa hari lagi kita akan melangkah ke dekad baharu 2020, eloklah kiranya kita imbas kembali spesis apa yang telah kita 'bunuh' tanpa sedar, atas nama kemajuan.


1. Siput O'ahu Hawaii (Achatinella apexfulva)



Ahli terakhir spesis ini yang diberi nama George mati dalam sebuah tangki di sebuah makmal di Miami pada hari tahun baharu (1 Januari 2019).

Ia dipercayai sudah pupus sepenuhnya, menurut seorang koordinator program pencegahan kepupusan siput tersebut di Jabatan Sumber Semulajadi dan Tanah Hawaii, David Sischo. Katanya merata sudah dicari sampai ke kawasan pergunungan dan ramai juga mencari siput tersebut sejak 20 tahun lalu, tapi tak jumpa.

Punca kepupusannya adalah disebabkan beberapa dekad lalu Jabatan Agrikultur Negeri Hawaii memperkenalkan spesis wolfsnail untuk mengawal populasi Achatinella apexfulva ini. Sudahnya wolfsnail membiak di luar kawalan hingga memakan kesemua jenis siput Achatinella apexfulva.


2. Tikus melomys Bramble Cray Australia (Melomys rubicola)




Pada Februari, kerajaan Australia mengarahkan perlindungan lebih ketat dibuat terhadap spesis-spesis terancam di negara itu termasuk jenis tikus tersebut. Seakan secara halus, memberi makluman bahawa ia sudah mengalami kepupusan.

Tikus ini menghuni di kawasan rendah, dan habitat mereka semakin hari semakin tenggelam susulan peningkatan aras laut kesan pencairan ais di kutub.


4. Burung nuthatch Bahamas (Sitta pusilla insularis)



Sebelum Taufan Dorian membadai Bahamas pada September, para ahli biologi menganggarkan hanya ada dua ekor burung nuthatch Bahamas yang tinggal.

Kemudian, tiba taufan tersebut pada Kategori 5 melenyapkan habitat spesis itu. Besar kemungkinan dan dipercayai burung itu sudah pupus sepenuhnya.

Menurut seorang ekologis di University of Central Florida, Seabird McKeon, spesis haiwan mudah terkesan daripada peristiwa/bencana alam yang berlaku apabila populasi mereka diancam oleh manusia.


3. Badak Sumatera (Dicerorhinus sumatrensis)




Malaysia mendapat perkhabaran sedih pada November tempoh hari apabila Iman, badak sumbu Sumatera terakhir di negara ini meninggal dunia selepas lima tahun menderita kanser rahim.

"Ia sesuatu yang amat memalukan," kata Pengarah Kanan Pemuliharaan Spesis di Global Wildlife Conservation, Barney Long.

Kepupusannya berpunca daripada kehilangan habitat dan pemburuan haram dan difahamkan ada kurang daripada 80 ekor sahaja yang wujud ketika ini di sekitar hutan Indonesia.

Baca: Iman, si badak sumbu Sumatera terakhir di Malaysia sudah tiada.

Kebanyakan spesis terancam ini berada di luar radar tidak dalam pemerhatian kita adalah spesis-spesis kecil. Manusia lebih tertarik kepada haiwan-haiwan besar dan berkarisma (gajah, harimau, helang dan sebagainya) tetapi binatang-binatang kecil dan lemahlah yang sangat diancam kepupusan.

Spesis-spesis yang pupus disenaraikan di atas mempunyai satu persamaan - mereka adalah haiwan kepulauan.

Mereka mempunyai habitat yang lebih kecil dan secara langsung populasinya juga kecil, maka jika ada satu bencana alam besar dan pembangunan, mereka akan mengalami kesan besar.

Jam terus berdetik dan semakin hari kita semakin kehilangan mereka. Jika kita tidak lakukan sesuatu dengan drastik, mereka akan hilang dan seterusnya kemanusiaan akan menerima padahnya.

Baca cerita lebih lanjut oleh Mashable SEA di sini: These species went extinct in 2019

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu