BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Rabu, 29 Januari 2020

Radhi OAG kembali dengan muzik irama rancak


Selepas lebih 14 tahun menyepi dari radar industri muzik, kumpulan OAG bakal tampil dengan genre baharu dalam single bertajuk Ori.

Vokalis utama kumpulan alternatif rock, Radhi atau nama penuhnya Mohd. Radhi Razali berkata, perubahan selera muzik dalam kalangan pendengar sejak kebelakangan ini mencetuskan keinginannya untuk bersama-sama meraikan kepelbagaian itu.

Sehubungan itu, Radhi membuat keputusan untuk muncul dengan karya yang memenuhi kehendak dan keinginan pendengar kontemporari.

Genre yang menjadi pilihan Radhi ialah dance music atau irama rancak.

“Tahun 2020 merupakan masa yang paling sesuai untuk membuat lagu yang futuristik dan saya rasa rugi jika tidak menjadi sebahagian daripada pengkarya yang menghasilkan lagu moden bagi generasi ini.

“Kita kena turut serta (berkarya), saya tidak prejudis terhadap mana-mana jenis lagu dan saya tak pernah berpendapat muzik dulu hebat, atau muzik sekarang tak menarik.

"Ini kerana pada saya, muzik itu (terhasil) berdasarkan perasaan seseorang dan mewakili sesebuah era," katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran single terbaharu OAG di Petaling Jaya, pada Selasa.

Kata Radhi, sebagai seorang penulis lirik, dia menghormati setiap jenis muzik serta penggemar yang mempunyai kesukaan pada selera masing-masing.

Dalam pada itu, Radhi turut mengingatkan orang ramai bahawa muzik harus datang daripada keunikan dan kreativiti diri sendiri bukan mengikut cita rasa orang lain.

Bertitik tolak pada prinsip itu, Radhi berkata, tema-tema dan maksud yang sama menjadi teras di sebalik single terbaharunya yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi.

Untuk itu, Radhi beirkrar untuk mempromosikan naskhah terbaharunya itu dalam sesi jelajah A New Beginning Tour, band berkenaan sepanjang tahun ini dan 2021.

Kumpulan pop dan alternative rock itu mula mencipta kemasyhuran sejak 1992 dan popular menerusi lagu-lagu seperti GenerasikuSenyuman Ragamu dan Akustatik.

Tahun 2006 merupakan tahun terakhir kemunculan OAG dalam industri muzik sebelum mereka membuat keputusan untuk berehat seketika.

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu