Bagaimana para skateboarders tempatan mengingati Ashraf Sinclair?
Mungkin ramai yang tak tahu, filem pertama lakonan Allahyarham adalah SH3, pada 2004, yang menceritakan kisah seorang skateboarder.
Pengarah filem itu adalah Zek Zukry.
Konflik dalam filem itu adalah mengenai percintaan dan persaingan siapa lebih bagus dalam skateboarding.
Ashraf (memainkan watak Khairul) mahu jadi yang terbaik dalam skateboarding dengan watak antagonisnya, lakonan Fezrul Khan dan pada masa sama, memenangi hati Fasha Sandha (Nelly).
Filem itu menyaksikan penampilan legenda kita, Pa'din Musa sebagai dirinya.
Dia menjadi mentor kepada Ashraf dalam filem ini dan juga kehidupan sebenar di mana Pa'din dan juga skateboarder, Mariss Khan mengajar cara bermain skateboard untuk memastikan Ashraf boleh melakonkan watak itu.
Ashraf memang tak biasa dengan sukan lasak ini, sampai bengkak kaki akibat terjatuh.
Tetapi akhirnya, dia dapat membawa watak seorang skateboarder dengan jayanya.
Ia merupakan filem pertama juga buat Pa'din dan juga yang pertama menceritakan kisah skateboarder di Malaysia.
Ashraf Sinclair meninggal dunia pada awal pagi Selasa akibat serangan jantung di Jakarta, Indonesia.
Ashraf atau nama sebenarnya Ashraf Daniel Mohammed Sinclair lahir di London, England pada 18 September 1979 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Noah Sinclair hasil perkahwinannya dengan Bunga Citra Lestari pada 2008.
Semoga tenang di sana Ashraf. Al-fatihah.