BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Isnin, 2 Mac 2020

Cerita 'cinta' Israr dengan Dewi Remaja 2019/2020


Ia bermula pada satu malam di bulan Jun tahun 2016.

Taman Neapolitan menjadi saksi di mana aku dan dia pertama kali bertentangan mata. Di bangku taman itu kami bertemu janji, namun masing-masing kelu. Ada yang tak sempat tergambarkan oleh kata ketika kami berdua. Masing-masing tak berani. Kami tetap bertemu janji.

Sehari demi sehari cuba untuk berkata, merasakan esok masih ada.

Tapi esok yang terakhir itu menumbuk tepat ke benak hatiku. Dia pergi dulu sebelum aku. Dan aku terus menyesali keterlewatan, terus menunggu di bangku itu saban malam.

Ini kisah rasa cinta tak kesampaian antara seorang lelaki bernama Putra dan gadis bernama Elsa yang ditulis oleh rakan saya, Arshad Adam. Ia merupakan satu daripada tiga fragment cerita yang berlaku di satu taman yang sama dalam pementasan teater Neapolitan di Revolution Stage, Bandar Utama lima tahun lalu.


Di situlah permulaan perkenalan saya dengan Dewi Remaja 2019/2020, Shaza Bae. Dari saat itu saya sentiasa cuba untuk memahami apakah maksud Bae pada namanya, sehinggalah pertemuan semula kami tempoh hari.

Shaza masih seperti kali pertama saya mengenalinya, gadis tinggi lampai yang selalu ingin belajar dan memahami. Dia seorang yang melihat bahawa segala-galanya adalah sebuah seni, dan dia cuba memahami cabang-cabangnya.

Saya tidak mengikuti rapat Dewi Remaja, hanya tahu ia satu peraduan permaisuri cantik berakal yang boleh dijadikan ikutan gadis remaja masa kini. Mengetahui rakan seperlakonan satu ketika dahulu memenanginya untuk edisi terbaharu ini, saya pun turut gembira.

Maka diatur pertemuan semula Putra dan Elsa di sebuah pejabat syarikat media digital di Bangsar. Shaza masih bekerja di situ walaupun sudah memenangi satu pertandingan terpopular negara. Ke sana ke mari dia akan menjulang tiara dewi itu, tetapi tidak di pejabatnya.

Dia memang suka bekerja dalam bidang media sebab baginya komunikasi amat penting untuk kita menyebarkan mesej cinta dan ilmu tidak kira siapa pun kita. Rezekinya juga bekerja dengan majikan yang memahami untuk Shaza mengimbangi kehidupan baharunya.

Kami juga berbual tentang perancangan masa hadapannya, minatnya, dan apa erti kebahagian buat putri remaja yang selalu saya lebih suka dengan nama sebenarnya, Shaza Nuriman.


         




Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu