BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Khamis, 9 April 2020

Amai Hamid bagi tip untuk keliling dunia secara percuma


Antara resipi untuk mendapat perhatian yang tinggi di Instagram adalah dengan memuat naik gambar anda melancong ke serata dunia dan melakukan aktiviti-aktiviti menarik. Saya ada terbaca tentang ini, tak tahulah sejauh mana kebenarannya. Tapi normanya begitulah, orang suka melihat perkara yang mengujakan.

Mungkin begitulah cara para ‘Instafamous’ meraih ‘likes’, maka tak lari daripada bualan jari-jemari comel para netizen mengatakan, “Alah bolehlah, dia kaya. Bapak dia tauke kilang biskut.” Betul juga, mana lagi nak dapat duit beli tiket penerbangan dan perbelanjaan untuk melancong ke London, Seoul, Los Angeles dan sebagainya.

Tapi tak semestinya perlu jadi kaya untuk keliling dunia. Amai Hamid, seorang gadis muda kelahiran Mersing, Johor dengan pengikut seramai 81.4 ribu di Instagram membuktikan bahawa dia berjalan-jalan ke luar negara tanpa perlu keluarkan (banyak) duit sendiri - sebahagian besar kembaranya adalah hasil daripada kemenangan menyertai peraduan.

Minah ni memang kaki masuk peraduan. Macam-macam ‘contest’ yang dia masuk dan menang pelbagai hadiah melancong ke banyak negara. Ada yang ditanggung perbelanjaan sepenuhnya, ada yang menang pakej penerbangan atau penginapan sahaja. Sejenis gigih. Tapi kegigihannya berbaloi.

Kemenangan dalam satu peraduan yang membawanya ke Manchester adalah salah satu daripada memori terindah Amai, atau nama sebenarnya Nur Maizatul Shima. Di situlah pertama kali dia menonton perlawanan bola sepak secara langsung di Stadium Etihad, dapat beramah mesra bersama pemain-pemain Manchester City telah membuatnya jatuh hati kepada kepada kelab itu (bukan sebab orang Arab kaya ya, katanya).

Begitu bermulanya cinta Amai kepada Manchester City dan menyebabkan dia terus dikenali di dunia sosial maya, terutamanya oleh kaum lelaki peminat sukan bola sepak.

Perbualan saya dengan Amai dalam sesi InstaLIVE pada satu malam Selasa membawa kepada bagaimana untuk berpeluang tinggi memenangi pelbagai jenis peraduan - perlu kreatif dan lain daripada pemikiran biasa. Kreatif yang bagaimana? Saksikan video keratan perbualan saya ini. 

Kata Amai, apa pun ia bergantung kepada rezeki, ada waktunya menang, ada waktunya tak bernasib baik. Tapi kalau kita terus berusaha dan cari jalan untuk mendapatkannya, lambat atau cepat, Tuhan mesti bagi.

- Israr Khalid

            

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu