BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Selasa, 14 April 2020

Isaac Newton ubah dunia ketika dalam kuarantin


Ketika Wabak Dahsyat membadai kota London pada awal tahun 1665, ilmuan termasyhur Isaac Newton merupakan seorang pelajar di Trinity College, Universiti Cambridge. Ia memaksa pemuda berusia 23 tahun itu pulang dan mengasingkan dirinya di ladang keluarganya di Woolsthorpe Manor, kira-kira 60 batu barat laut dari Cambridge.

Ketenangan berada di Woolsthorpe, jauh dari pusat pandemik yang meragut nyawa puluhan ribu penduduk membolehkan akal cerdas Newton meneroka sejauh-jauhnya tanpa sebarang gangguan. Tempoh ini dipanggil sebagai annus mirabilis - dalam bahasa Latin bermaksud ‘tahun keajaiban’.

Pada tempoh inilah, Newton meneruskan kerja-kerja matematiknya yang diusahakan sebelum kolej ditutup. Beliau ketika itu sedang mencari persamaan am (universal equations) melibatkan kuantiti tidak tetap, satu isu yang telah ditangani oleh ahli matematik Perancis, René Descartes dan Pierre de Fermat tetapi pada skala yang terhad.

Sampai hujung 1666, Newton akhirnya dapat menyelesaikan masalah tersebut dan menerbitkan kertas kerja berkenaan undang-undang fluksi, yang hari ini dikenali sebagai ‘kalkulus’.

Pada masa sama, Newton turut mengarahkan tumpuannya kepada kajian alam optik, dan menerokai bahawa setiap warna pada spektrum cahaya adalah gabungan cahaya gelap dan cahaya putih. Beliau menjalankan satu eksperimen di mana beliau menggerudi lubang kecil pada penutup jendela bilik tidurnya, memintas alur cahaya yang menembusi lubang kecil itu dengan sebuah prisma kaca dan kemudian meletakkan satu lagi prisma pada laluan cahaya yang terbias itu.

Hasilnya membolehkan Newton membuat perkiraan terhadap sudut setiap jalur warna daripada cahaya terbias. Lebih penting, ia mendedahkan yang jalur warna adalah tidak berubah - bukti bahawa warna bukanlah modifikasi daripada cahaya putih tetapi cahaya putih adalah terbentuk daripada semua komponen spektrum.




Selain itu, inilah juga tempoh di mana terciptanya kisah legenda mengatakan Newton meneroka daya tarikan graviti apabila sebiji epal jatuh ke atas kepalanya ketika beliau sedang berehat di bawah pokok. Sebenarnya ia tidak pernah terjadi, tetapi sememangnya pada tempoh kuarantin ini Newton mendapat ilham untuk meneroka prinsip intertiadan bagaimana sebuah objek tidak terapung bebas.

Pemikiran ini membawa kepada teori graviti am (universal gravitation). Newton mendapati, daya yang menarik epal ke bawah mesti sama kejadian bumi menarik bulan dengan daya tarikan graviti. Malah, bulan juga mesti memiliki daya tarikan sama terhadap bumi, walaupun pada skala yang lebih kecil. 

Perkiraan tentang teori ini bagaimanapun tidak diselesaikan Newton dalam tempoh kuarantin itu, ia dilengkapkan dalam tempoh 21 tahun sehingga karya agungnya yang termasyhur, Principia diterbitkan pada 1687.

Hanya pada musim bunga 1667 wabak dahsyat itu mereda, membolehkan Newton kembali ke Cambridge untuk mempersembahkan kepada khalayak bahawa perubahan kehidupan yang dialami ketika detik hitam dalam sejarah England itu, mencetuskan pemikiran yang mengubah dunia selamanya. 

Bagaimanapun, dikisahkan Newton pernah berkata, "Jika aku melihat jauh, adalah kerana aku berdiri di atas bahu-bahu para gergasi."

Siapakah 'gergasi-gergasi' dimaksudkan Newton yang menjadi inspirasi saintis Inggeris itu?


-BERSAMBUNG-


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu