BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Khamis, 16 April 2020

Norma baharu bazar Ramadan digerakkan komuniti setempat


Tidak pernah kita terfikir ketibaan bulan puasa tanpa bazar Ramadan. Tuan-tuan dan puan-puan, tahun ini ia terjadi.

Dek serangan wabak COVID-19 yang entah bila kesudahannya ketika beberapa hari lagi menuju Ramadan, satu demi satu negeri sehingga seluruh negara akhirnya mengisytiharkan penganjuran bazar tahun ini dibatalkan. Sedih mendengarnya, namun demi keselamatan nyawa kita, ia terpaksa ditelan.

Pada satu sudut, akhirnya kita semua dapat melalui makna Ramadan yang sebenar-benarnya. Jika sebelum ini sebahagian besar kita bermewah-mewah dan berpesta ria dengan segala aneka juadah sampai dibuang-buang, kali ini kita semua dipaksa Tuhan untuk merasai apa yang sekian lama ditempuh mereka yang serba tiada. Rasakan.

Tetapi tidak bermakna kita perlu terus bersugul. Bazar Ramadan yang sudah menjadi menjadi budaya Malaysia perlu terus hidup, dan kepesatan teknologi hari ini membuka jalan untuk kita meneroka pelbagai cara baharu untuk makcik tepung pelita dan brader murtabak dapat berniaga.

Perbualan saya dengan rakan wartawan Astro AWANI, Harits Asyraf Hasnan pada sesi ‘update’ harian RancakTV dengan Astro AWANI membawa kepada satu perkongsian yang cukup menarik.

Asyraf menceritakan bagaimana komuniti di kawasan kediamannya di Bukit Jalil memanfaatkan bakat dan aset penduduk setempat dibantu aplikasi komunikasi untuk mewujudkan sistem perniagaan makanan yang selamat dan meyakinkan. 

Sesiapa yang mahu berniaga menawarkan bisnes mereka di dalam ‘group chat’ taman, bayaran boleh dibuat secara atas talian, kemudian makanan yang dipesan itu akan dihantar di hadapan pintu rumah tanpa sebarang kontak antara penjual, penghantar dan pembeli.

Mudah dan ringkas, tak perlu bersesak-sesak, selera pun terhindar daripada digoda lambakan pilihan makanan yang selalunya mengusik nasfu untuk membeli lebih daripada apa diperlukan. Kita akhirnya diajar untuk bersederhana.

Ini menurut Asyraf antara mekanisme e-bazar yang bukan sahaja mampu diterap dalam komuniti bandar, malah luar bandar juga dapat melaksanakannya menerusi gerakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) misalnya, mengikut kesesuaian dan kemampuan yang ada pada sesebuah kumpulan penduduk itu.

Sudah tiba masanya kita meninggalkan tabiat lama yang terlalu bergantung harap kepada kerajaan. Kemaslahatan dan kemajuan rakyat harus digerakkan sendiri oleh komuniti setempat, itu norma baharu Malaysia.


               

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu