BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Khamis, 30 Julai 2020

Kenapa kita pandang satu sudut bila membayangkan sesuatu?


Pasti zaman bersekolah dahulu kita pernah disoal cikgu di dalam kelas, dan ketika kita memikirkan jawapannya, terkebil-kebil mata kita melihat ke satu sudut. Perasan tak?

"Jawapannya bukan ada pada siling!", teriak cikgu. Makin terkebil-kebil lah kita memandang muka cikgu, sampai ke sudah terus tak boleh beri jawapan.

Kenapa mata kita akan merenung jauh ke atas atau ke lantai bila sedang membayangkan atau memikirkan dengan dalam tentang sesuatu?

Dalam neurosains, diketahui bahawa ada kalanya apabila kita sedang berfikir, kita menghidupkan beberapa bahagian berbeza pada otak. Bergantung kepada bahagian otak di bahagian mana yang dicetuskan, mata kita juga akan bergerak ke suatu arah.

Hubung kait pergerakan mata dengan aktiviti otak ini dipanggil lateral eye movement (LEM). Berdasarkan mekanisme ini, pada lewat 70-an, seorang pelajar psikologi Richard Brandler dengan seorang ahli bahasa John Grinder, merumuskan satu teori yang dipanggil eye accessing cues (EAC).

Teori tersebut mengesyorkan bahawa tanggapan deria manusia dapat dibaca daripada pergerakan matanya. Ada enam arah di mana lazimnya mata merenung - kanan atas, kiri atas, kanan paras, kiri paras, kanan bawah dan kiri bawah.

Daripada kelaziman arah renungan matanya juga, sedikit sebanyak personaliti dan cara berfikir sesorang itu dapat dibaca.

Menurut model teori Brandler dan Grinder, orang selalu memandang ke kanan atas untuk membentuk imej, sementara ke kiri atas pula untuk mengingat imej.

Pandangan paras ke arah kanan menunjukkan seseorang itu sedang mencipta bunyi dalam mindanya, sementara paras ke arah kiri apabila dia sedang mengingat kembali bunyi yang pernah didengarinya.

Manakala orang yang memandang ke bawah kanan adalah otaknya sedang membayangkan rasa dan sentuhan, dan dia sedang berkata-kata kepada dirinya sendiri jika matanya melihat ke bawah kiri. Dalam keadaan itu juga, otak dalam keadaan neutral.



Apabila seseorang itu berdepan dengan sesuatu soalan, perhatikan ke mana arah matanya merenung. Kalau kerap ke atas, besar kemungkinan dia adalah seorang yang visual. Orang visual ini amat menitik beratkan tentang penampilan dan rupa sesuatu. Mereka peka terhadap warna, bentuk dan pencahayaan. 

Orang visual langkahnya pantas, pertuturannya cepat dan nada percakapannya juga agak tinggi. Bukan tak tahu duduk diam, tetapi apabila dia bergerak, pergerakannya tidak meleweh.

Orang yang matanya selalu berada pada paras ufuk, biasanya dia seorang yang auditori, atau tajam pendengarannya. Temponya lebih tenang daripada orang visual, pergerakannya fokus tetapi steady. Memandangkan ingatannya banyak dalam bentuk auditori, orang begini mudah terganggu dengan bunyi asing dan bising.

Kerap juga orang begini akan menelengkan sedikit kepalanya ketika sedang berfikir, seakan dia sedang mendengar sesuatu. Gaya dan nada percakapannya juga bermelodi, ada turun naiknya.

Manakala orang yang kinestetik atau yang peka deria rasa dan sentuhannya, sangat empati terhadap seseorang atau sesuatu, luar dan dalam. Mereka sensitif kepada rangsangan seperti kehangatan, cahaya terang, lembut tiupan bayu, dan keempukan bantal di kepalanya.

Temponya perlahan, jarang dia bercakap laju tanpa berfikir dahulu. Pertuturannya lembut, teratur, dan jelas. Jarang dia membuat hubungan mata, tetapi mereka lebih gemar sentuhan.

Begitupun, semua di atas ini adalah teori umum atau generik sahaja yang dirumuskan daripada kelaziman fi'il manusia. Sesungguhnya manusia adalah sebuah ciptaan yang kompleks.

*Sumber: The Art of Reading Minds (Henrik Fexeus, 2019)

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu