BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Sabtu, 18 April 2020

Keunggulan Isaac Newton dipengaruhi ilmuan Islam


Isaac Newton, nama yang cukup dikenali dalam dunia sains pernah dipetik berkata “Jika aku memandang jauh, ia adalah kerana aku berdiri di atas bahu-bahu para gergasi.” Selalu kita membincangkan keunggulan Newton, tetapi jarang kita kupas siapakah ‘gergasi-gergasi’ yang dimaksudkan itu.

Ahli fizik Inggeris itu diketahui meneroka tiga penemuan penting yang mengubah dunia ketika dalam asingan ketika kota London dilanda Wabak Dahsyat pada awal 1666 - kalkulus, sifat spektrum cahaya dan hukum graviti. Sebenarnya, Newton bukanlah yang pertama.

Lebih 700 tahun sebelum itu, Ibn al-Haytham dan Thabit ibn Qurra telah menulis tentang kalkulus. Ibn al-Haytham juga ada membuat kajian tentang graviti. Ratusan tahun sebelum Newton, Abu Bakar al-Razi telah membuat perbandingan jelas antara ruang mutlak dengan ruang relatif. Ibn Sina pula cuba menghubungkan antara halaju dengan berat, yang menjadi asas konsep momentum.

Mari kita lihat Hukum Gerakan Newton. Hukum pertama tentang inertia sebenarnya telah dikaji oleh beberapa ilmuan Islam antaranya Ibn Sina dan Ibn al-Haytham. Abul Bakarat al-Baghdadi mengatakan bahawa daya adalah berkadar kepada pecutan (force is proportional to acceleration), menerangkan tentang hukum kedua. Ibn Bajja pula menulis tentang setiap daya dikenakan, ada daya bertindak balas - menjelaskan hukum gerakan ketiga.

Dunia barat menyifatkan ‘gergasi-gergasi’ yang dimaksudkan adalah ilmuan Eropah terdahulu seperti Nikolas Copernicus, Johannes Kepler, René Descartes dan Galileo Galilei. Tapi sebenarnya, Newton sangat dipengaruhi ilmuan dunia Islam. Buktinya?

Dalam penulisan-penulisan Newton, jelas beliau dipengaruhi nada falsafah novel Hayy ibn Yaqzan karya Ibn Tufail. Didapati novel masyhur itu yang diterjemah dalam bahasa Latin dan Inggeris oleh Edward Pacocke dan Simon Ockley sudah ada pada zaman Newton. Selain Newton, ramai saintis, ahli falsafah dan penulis dipengaruhi pemikiran Ibn Tufail.

Malah, Newton juga menyimpan satu salinan karya agung Ibn al-Haytham, Kitab al-Manazir dalam perpustakaan peribadinya. 

Ahli alkimia, Jabir ibn Hayyan ditertawakan kerana idea gilanya untuk menghasilkan emas, walaupun sebenarnya ia tidak mustahil dengan sistem tersusun yang perlu melalui proses saintifik dan eksperimental. Ramai juga terkejut apabila mengetahui Newton turut mengamalkan alkimia, dan beliau juga banyak merujuk kepada kitab tulisan Jabir yang dimilikinya bertajuk Kitab al-Mulk.

Sebenarnya, Barat tidaklah sehebat mana tanpa keunggulan ilmu dari dunia Islam ratusan tahun sebelumnya.

Foto dari kiri: Abu Bakr ar-Razi, Ibn Sina, Thabit ibn Qurra, Ibn al-Haytham.



Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu