Bermula sebagai tukang kayu, buruh kasar, konduktor bas sehingga kini menjadi 'Superstar' sanjungan alam Tamil khususnya dan peminat-peminatnya seluruh dunia secara amnya.
Rajinikanth, atau nama sebenarnya Shivaji Rao Gaekwad merupakan kelahiran daripada keluarga biasa di Bangalore, India pada 12 Disember 1950. Perjalanannya seninya bermula sebagai pelakon teater semasa di sekolah, memainkan watak-watak daripada naskhah epik Hindu.
Kemudian semasa bekerja sebagai konduktor bas dengan Bangalore Transport Service (BTS), pada masa sama beliau mendaftar diri sebagai pelajar di Institut Filem Madras yang baru dibuka.
Di sini legendanya bermula, di mana bakat, stail dan personaliti unik Rajini menambat hati pengarah filem Tamil, K. Balachander. The rest is history.
Sepanjang kariernya yang menjangkau 45 tahun, Rajini sudah membintangi lebih 160 filem, bermula dengan 'Apoorva Raagangal' arahan K.Balanchander pada tahun 1975 sehingga yang terbaharu 'Darbar' arahan AR Murugadoss yang ditayangkan tahun ini.
Barisan filem-filem yang kasi pecah panggung seperti Billa, Annaamalai, Muthu, Baasha, Padayappa, dan Sivaji The Boss mengangkat namanya dan mengukuhkan statusnya sebagai antara manusia berpengaruh di alam Tamil.
Peminatnya terdiri daripada penduduk dunia, bukan orang India sahaja. Tidak terkecuali di Malaysia, pengkagum 'Thalaivar' (ketua, dalam bahasa Tamil) juga ramainya daripada orang Melayu, Cina tak pernah jumpa lagi tapi saya yakin ada.
Pada usia 69 tahun, Rajini masih belum mahu berhenti malah sedang dalam proses penggambaran filem baharu bertajuk 'Annaatthe' yang dijadual ditayangkan pada 2021. Namun pandemik COVID-19 merencatkan pembikinan filem tersebut.
Bagi menaikkan semangat kita yang terhad pergerakannya dek serangan pandemik tahun ini, Astro memperuntukkan satu bulan khas menayangkan 70 filem-filem lakonan Rajinikanth dari 1 hingga 30 Jun.
Sepanjang tempoh itu juga, koleksi filemnya itu boleh ditonton secara mobil menerusi aplikasi AstroGO. Semuanya secara percuma di saluran 100 Astro On Demand eksklusif buat para pelanggan Astro.
Bukan pelanggan Astro? Kasi 'subscribe' lah macha, demi Thalaivar!