BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Selasa, 16 Jun 2020

Manja Kani, Singa tertua Zoo Negara semakin berselera

Foto: Twitter @nadiazaman__
MANJA Kani, singa tertua Zoo Negara yang sebelum ini tular kerana kelihatan kurus dan kurang zat makanan, kini semakin berselera selepas diberi makan daging sejak seminggu lalu.

Menurut Timbalan Presiden, Zoo Negara Malaysia, Rosly Ahmat Lana, singa Afrika jantan berusia 15 tahun itu telah turun berat badan dengan ketara kerana corak pemakanannya yang berubah akibat musim mengawan.

"Manja Kani dan pasangan, Manja Ela telah mengawan sejak kebelakangan ini dan itu yang menyebabkan Manja Kani kadang-kadang tidak makan," kata Rosly kepada wartawan Astro AWANI, pada Isnin.

Menurutnya, ini perkara biasa bagi spesis panthera leo namun kes Manja Kani lebih ketara kerana dipengaruhi betina yang enggan mengawan serta perlakuan memaksa betina untuk mengawan.

"Manja Kani juga sedikit memilih dari segi pemakanan, kadang dia pilih daging lembu dan bukan ayam, kadang dia pilih daging rusa dan bukan daging lembu," tambah beliau.

Dalam pada itu, Zoo Negara sentiasa memantau dan memerhati pilihan makanan Manja Kani untuk sentiasa diikuti.

Pihak zoo juga memantau tahap kesihatan Manja Kani di mana perkembangan harian Raja Rimba itu adalah sihat, sama dengan haiwan-haiwan lain di Zoo Negara, kata Rosly.

Zoo Negara mempunyai tiga ekor singa, dua ekor jantan termasuk Manja Kani, dan seekor betina, Manja Ela.

Ujar Rosly lagi, Manja Kani akan terus berada di ruang pameran dan bukan disimpan di ruang semalaman (night den) kerana ruangan itu hanya bagi haiwan yang memerlukan pemerhatian lebih.

Baru-baru ini tular di media sosial gambar seekor singa yang nampak ketara kurus berbanding singa dewasa biasa, yang telah menimbulkan pelbagai spekulasi berkaitan Zoo Negara dan cara mereka menjaga haiwan-haiwan di sana.

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu