Burger. Makanan yang paling popular dahulu, kini dan mungkin selamanya. Mungkin bagi rakyat yang didedahkan dengan dakyah Amerika di media. Senang, cepat, dan menyelerakan, sesuai dengan langkah dunia yang semakin melaju.
Macam-macam jenis ada. Bertelur, berkeju, bersos lada hitam, berdaging ikan, roti berwarna hitam, namakan saja. Burger berevolusi dengan cepat bersama arus zaman, tapi bila bermulanya manusia diperkenalkan dengan santapan bernama burger ini?
Asalnya nama penuh burger adalah 'hamburger'. Katanya terma hamburger ini berakar dari panggilan Jerman kepada orang yang berasal dari Hamburg.
Pada kurun ke-19 iaitu sekitar 1800-an, kota di utara Jerman itu terkenal dengan penghasilan daging unggul dari lembu berkualiti tinggi. Antara cara persediaan yang paling popular dalam kalangan rakyatnya adalah dengan mengisarnya, gaul dengan bawang putih, garam dan lada sulah lalu dijadikan kepingan (patty).
Ia kemudian digril sebelum dihidangkan bersama atau tanpa roti dengan nama 'Hamburg steak'. Dahulunya ini hidangan mewah, dah pakai daging gred baik sudah tentulah mahal.
Semasa orang Jerman sikit demi sikit mula berhijrah ke New York, kebanyakannya membina kehidupan di tanah Amerika dengan membuka restoran. Sudah pasti, menu wajibnya mesti ada 'Hamburg steak'.
Dikatakan apabila bermulanya Revolusi Perindustrian di Barat, Hamburg steak dijual di atas troli kepada pekerja-pekerja kilang. Tapi tengah duk bertukang sambil berdiri, susah lah mahu makan.
Maka kemudian, ada satu manusia kreatif, chef barangkali, datang dengan satu penyelesaian iaitu mengapit daging steak itu dengan roti supaya pekerja dapat sebelah tangan makan sambil sebelah lagi membuat kerja.
Itu antara salah satu sejarah penciptaan burger yang ada susur galurnya. Banyak tempat dan ramai rakyat Amerika yang mendakwa mereka bertanggungjawab dalam penghasilan makanan yang menjadi identiti negara Uncle Sam itu. Maka asal usul sebenarnya tak tahu siapa.
Mestilah, takkan mereka mahu mengaku mereka terilham daripada orang Jerman, kan? Perang takkan tamat, tuan-tuan dan puan-puan.
Boleh kata setiap negara di seluruh dunia ada kedai jual burger. Sama ada francais Amerika, ataupun kedai persendirian yang menghidangkan burger yang dioleh kreatif hasil eksperimantasi terhadap selera manusia sekitarnya.
Ketika burger di seluruh dunia adalah sama dasarnya - daging yang diapit dengan roti, ada satu jenis burger yang lain bentuk dan bahan asasnya.
Burger-dil.
Ya, burger kita yang tersendiri. Begedil. |