BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Sabtu, 11 Julai 2020

Ini dia epal paling 'rare' di dunia


Epal adalah buah yang sekian lama mengisi baris-baris hikayat dalam sejarah manusia. Daripada buah terlarang di syurga menurut Injil, buah yang mengilhamkan Isaac Newton, juga simbol sebuah syarikat teknologi.

Ia merupakan buah yang paling popular. Dengan khasiatnya yang dapat memberikan pelbagai manfaat kepada tubuh, ia wujud dalam pelbagai warna (biasanya merah atau hijau), jenis dan rasa untuk dinikmati.

Ketika kebanyakan epal hari ini ditanam secara komersial untuk memenuhi permintaan pasaran, ada satu jenis epal yang begitu unik dan tak ramai pun tahu kewujudan epal ini.

Epal Black Diamond, adalah sejenis epal yang hanya boleh ditemui wilayah pedalaman Nyingchi, Tibet yang berada kira-kira 3,100 meter di atas paras laut.

Di situ berlaku perbezaan suhu yang ekstrim antara siang yang hangat dengan matahari cerah dan malam yang sejuk bawah paras beku di Nyingchi. Tambahan pula, kawasan tanah tinggi menyebabkan ia menerima sinaran ultraviolet yang tinggi, maka sebab itu warnanya hitam (sebenarnya ungu pekat).



Epal Black Diamond langsung tidak menggunakan baja, segalanya bergantung kepada lokasi penanamannya itu. Bererti, hasil tuaiannya juga adalah terhad.

Persekitaran ekstrim menyebabkan ia tumbuh dengan perlahan. Kalau epal biasa mengambil masa sekitar 2 hingga 3 tahun untuk tumbuh dan berbuah dengan matang, epal Black Diamond perlu menunggu sehingga 8 tahun atau lebih.

Malah apabila dituai, selalunya hanya sekitar 30 peratus daripada setiap epal Black Diamond yang dipetik lulus piawaian ketat untuk dipek dan dijual. 

Buah unik ini hanya dijual di kedai runcit mewah di China (memandangkan syarikat yang memiliki ladang penanamannya adalah milik China) pada harga 50 Yuan (RM30) SEBIJI. Selalunya pelanggan perlu membuat tempahan awal untuk mendapatkan pakej hadiah yang mengandungi enam hingga lapan biji epal tersebut

Makanya, agak mustahil untuk epal hitam ini dijual di pasaran luar China. 

Walaupun ia memang kelihatan seperti epal ajaib dalam kisah dongeng, ia tidak memiliki apa-apa kualiti yang membawa keajaiban kepada pemakannya. Cuma katanya, rasa epal Black Diamond lebih rangup dan manis. 

Rasanya, belum ada lagi kajian terperinci yang dibuat terhadap epal Black Diamond ini, memandangkan ia tersangatlah 'rare'. Entah-entah memang ada 'keajaibannya'...

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu