BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Isnin, 20 Julai 2020

Jawi - Tulisan atau bahasa, Islam atau Melayu?


Jawi adalah sejenis tulisan yang menjadi identiti alam Melayu yang berkait rapat dengan agama Islam. Begitupun, ia bukanlah tulisan Islam tetapi tulisan bangsa Melayu yang diterap daripada bahasa Arab.

Sebelum 'kedatangan' Islam, alam Melayu kuat dipengaruhi elemen Hindu-Buddha. Maka tulisan yang berakar daripada skrip Brahmi seperti Rencong, Kawi dan Pallava digunakan secara meluas dalam penulisan bahasa Melayu kuno.

Inskripsi/ukiran pada batu yang ditemui di Kedukan Bukit, Sumatera bertarikh 1 Mei tahun 683 merupakan spesimen bukti tertua yang memaparkan perkataan bahasa Melayu kuno yang banyak dipengaruhi bahasa Sanskrit, ditulis dalam skrip Pallava.

Kehadiran para pedagang dari tanah Arab pada era kegemilangan kerajaan Melayu seawal kurun kesembilan membawa bersama ajaran baharu yang seiring dengan budaya leluhur, maka elemen Arab banyak mempengaruhi evolusi Melayu selepas itu.

Pada peringkat awalnya, skrip Arab diajarkan kepada khalayak Melayu dalam bentuk amalan ibadat seperti membaca Al-Quran dan bacaan dalam solat. Namun, untuk menyebarkan lagi ilmu Islam kepada alam Melayu, penggunaan skrip Brahmi dilihat tidak sesuai.

Senang dan dirasakan padan, maka diambil karakter-karakter skrip Arab lalu diterap untuk menulis bahasa pertuturan Melayu klasik. Terlahirlah tulisan Jawi yang ditulis dari kanan ke kiri dengan tambahan huruf Ú† /cha/, Ú¤ /pa/, Ú¬ /ga/, Ú  /nga/, dan Ú½ /nya/.

Inskripsi Kedukan Bukit, bertarikh 683M memaparkan ukiran bahasa Melayu kuno dalam skrip Pallava. (Foto: Wikipedia)

Peninggalan tertua yang mengandungi tulisan Jawi adalah Batu Bersurat Terengganu yang diukir pada tahun 1303, kira-kira 600 tahun selepas tarikh kali pertama skrip Arab ditemui di wilayah kepulauan Melayu iaitu batu nisan Syeikh Rukunuddin di Barus, Sumatera yang bertarikh pada tahun 668/669.

Sejak itu, sistem tulisan Jawi menjadi kegunaan umum semua lapisan masyarakat, tidak kira di istana mahupun di mana-mana. Penggunaan Jawi juga dilihat sebagai antara teras utama yang membantu penyebaran Islam secara lebih meluas ke Nusantara serta mengukuhkan bahasa Melayu sebagai lingua franca.

Hukum Kanun Melaka ditulis dalam Jawi, begitu juga kod undang-undang kesultanan Islam di serata kepulauan Melayu termasuk Johor, Perak, Kedah, Pattani, Aceh dan Brunei. 

Raja-Raja Melayu terdahulu juga menggunakan Jawi dalam surat berbahasa Melayu untuk diutuskan kepada pemimpin-pemimpin luar. Antara spesimen yang masih rapi adalah surat Sultan Hayat Ternate kepada Raja John III Portugal (1521), surat Sultan Iskandar Muda Aceh Darussalam kepada Raja James I England (1615) dan surat Sultan Abdul Jalil IV Johor kepada Raja Louis XV Perancis (1719).

Spesimen tulisan Jawi tertua di Tanah Melayu, batu bersurat Terengganu yang mengandungi 10 undang-undang asas Syariah. (Foto: Wikipedia).

Apabila runtuhnya tembok kota Melaka dibedil Portugis pada 1511, maka bermulalah kemasukan unsur Barat yang dipengaruhi agama Kristian ke bumi Melayu. Mereka mengambil tampuk pemerintahan dan menggunakan sistem tulisan Romawi/Rumi (daripada Rom), yang berakar daripada skrip Latin.

Lebih 400 tahun dijajah Barat, akhirnya dunia Melayu sudah terbiasa dengan sistem tulisan Romawi dan Jawi semakin hilang pengaruhnya. Begitupun ketika Malaya 'merdeka' pada 1957, masih luas penggunaan tulisan Jawi dalam majoriti rakyat termasuk sebahagian daripada yang bukan berbangsa Melayu.

Akta Bahasa Kebangsaan yang diluluskan pada 1963 menetapkan pendirian Persekutuan Tanah Melayu bahawa "Tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi: dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan."

Biarpun ada pilihan, kebanyakan urusan rasmi ditulis dalam Rumi. Jawi pula kini menjadi alternatif dalam urusan berkaitan hal keagamaan. Kalau di Johor misalnya, dokumen-dokumen Jabatan Agama Islamnya (JAIJ) ada dalam tulisan Rumi dan Jawi. Namun sudah pasti ramai khususnya generasi hari ini akan membacanya dalam Rumi.

Maka kerana itu kerajaan mengumumkan Hari Jumaat sebagai Hari Jawi, sebagai usaha untuk terus memberi nafas kepada tulisan tersebut yang semakin tenat. Tak percaya, bawa surat khabar Utusan Melayu kepada pelajar sekolah hari ini. 'Merangkak' pun dikira baik, saya percaya ada yang tak tahu langsung membaca tulisan Jawi.

Boleh baca?

Tulisan Jawi memainkan peranan yang besar sebagai tulisan bahasa ilmu di alam Melayu pasca 'kedatangan' Islam, yang menjadikan Nusantara sebagai antara wilayah unggul satu ketika dahulu. Keunggulannya menggamit pengamatan ilmuan luar, antaranya Prof. Dr. Kang Kyoung Seok dari Korea Selatan yang mengkaji Jawi sejak 1974.

Ada sesuatu di sebalik Jawi yang lebih daripada sekadar sejenis sistem tulisan. Ia semakin tenat dan lama-kelamaan, tidak mustahil identiti besar bangsa Melayu ini akan lenyap. Akhirnya Melayu tidak kenal siapa dirinya sebagai manusia berbangsa sepertimana difirman dalam surah al-Hujarat ayat 13:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).

Kata orang tua, "Kenal diri rata-rata, sebelum kenal Tuhan yang nyata."

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu