BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Isnin, 6 Julai 2020

Mactan saksi bisu keunggulan pelaut Melayu (Siri 1)





Ini cerita daripada perjalanan saya dan rakan seangkatan di RancakTV, Ian Johan Arif yang berlaku betul-betul sebelum COVID-19 melanda dunia.

Selepas selesai penggambaran dokumentari 'New Bayani' (TONTON: New Bayani - The Sacrifices of Filipino Migrants in Malaysia (Part 1) & (Part 2)) di Cebu City dan Ozamiz City di Mindanao, kami singgah ke pulau Mactan untuk menghabiskan sisa hari kembara kami di Filipina.

Itu kali pertama kami berdua menjejak kaki ke kepulauan yang dikenali dengan cerita kehidupan mewah Imelda Marcos selain polisi barbarik presidennya, Rodrigo Duterte untuk membanteras keparahan masalah dadah negara itu. 


Sebenarnya sejarah awalnya lebih unggul daripada itu.

Cerita tentang kepulauan ini diketahui dunia apabila Antonio Pigafetta mencatat perjalanan Ferdinand Magellan merentas laut Pasifik dan menemukan jalan Kepulauan Rempah (Maluku) ikut arah barat. Ia bermula pada Julai 1521, apabila Magellan tiba ke Cebu bersama lima kapal yang dikomisyen kerajaan Sepanyol.

Sebagai pusat perdagangan utama kepulauan itu, Cebu dilihat Magellan sebagai lokasi strategik untuk melabuhkan kekuasaan. Rajanya, Humabon tunduk kepada persahabatan bermuslihat Magellan, dibaptiskan menjadi Kristian bersama isteri, anak serta 800 penduduk lain.

Menggunakan pengaruhnya bersahabat dengan Raja Humabon, Magellan mengarahkan supaya ketua-ketua puak untuk membekalkan makanan kepada kapal-kapalnya dan ikut sama mengakui bahawa Jesus itu anak tuhan.

Magellan menjaja kisah kejayaan bangsanya meruntuhkan Kesultanan Melayu Melaka pada 1511, di mana dia antara pegawai yang ikut serta armada pimpinan Afonso de Albuquerque menawan Melaka sepuluh tahun sebelum itu.

Mungkin takut berdepan nasib sama seperti Kota Melaka, Humabon akur dan tunduk, menghulurkan tangannya memberikan segala yang dimahukan pelayar dari bangsa yang angkuh itu.

Kecuali seorang yang enggan tunduk kepada tuntutan penjajah. Lapu-Lapu, pemimpin puak di Mactan menolak kehadiran rombongan dari Barat itu untuk meluaskan kuasanya di tanah Timur.

Menurut epik 'Aginid', Lapu-Lapu tiba di Mactan dari Borneo. Perantau itu memohon Raja Humabon supaya dikurniakan sebidang tanah untuk dia bertapak dan usahakan, lalu berkembang menjadi sebuah wilayah yang dipimpin olehnya.

Wilayah Mandaue dan Opon (kini dipanggil Lapu-Lapu City) bangkit sebagai satu kawasan tumpuan baharu dek kepesatan sektor penanamannya. Malangnya, ia menimbulkan kegusaran Raja Humabon di Cebu, lalu bertegang uratlah antara Raja Cebu itu dengan Lapu-Lapu. Itu boleh jadi salah satu sebab Humabon berjabat dengan Magellan.


Mural memaparkan adegan Pertarungan Mactan pada 27 April 1521, di mana Magellan mati di tangan Lapu-Lapu.


Kalau tak berapa nampak, biar saya tulis balik dalam bahasa Melayu: "Di sini, pada 27 April 1521, Lapulapu dan orangnya menyingkirkan penjajah Sepanyol, membunuh pemimpin mereka, Ferdinand Magellan. Maka, Lapulapu menjadi warga Filipina yang pertama yang menghalau pencerobohan Eropah."


Keengganan Lapu-Lapu itu akhirnya memaksa rombongan Sepanyol menggunakan kekerasan. Pada dinihari 27 April 1521, 49 orang tentera berperisai dibantu oleh sekumpulan penduduk natif yang sudah menjadi 'barua' Barat mendarat di pantai Mactan.

Pasukan yang dikepalai oleh Magellan itu tidak menyangkakan Lapu-Lapu membalas dengan lebih 1,500 kekuatan tentera untuk mempertahankan tanah watan. Berlakulah pertempuran dan berakhir dengan kematian Magellan di tangan Lapu-Lapu.

Kerana itu, Lapu-Lapu diingati sebagai hero pertama Filipina, yang berjaya mengusir kuasa asing daripada tanah mereka. Dia terus memimpin sehingga pada suatu hari, dia kembali ke kampung asalnya di Sabah.



Monumen Lapu-Lapu di Lapu-Lapu City, Mactan. Di belakangnya itu tugu Magellan. 

Lokasi di mana matinya Magellan itu didirikan sebuah monumen gangsa figura wira pertama mereka, Lapu-Lapu gah setinggi lima meter. Tarikh bersejarah 27 April 1521 itu juga disambut setiap tahun dengan penuh kemeriahan oleh penduduk Mactan sehingga hari ini.

Mactan menjadi titik pertemuan bersejarah yang penting dalam dunia Melayu. Kita sebenarnya serumpun, muka pun lebih kurang saja, bahasa mereka pun banyak yang sama dengan kita. Mangga, kerbau, lelaki, anak, balik - antara perkataan yang kita kongsi.

Maka apa yang berlaku di tanah Filipina juga penting untuk kita sebagai warga Kepulauan Melayu atau dipanggil Malay Archipelago oleh Alfred Wallace dan Golden Chersonese oleh Ptolemy.

Kerana di tanah Filipina itu juga, ada seorang anak Melayu yang datangnya dari Melaka turut sama dalam rombongan Ferdinand Magellan pada 1521, sepuluh tahun selepas kejatuhan Melaka. Siapa?

Nantikan siri kedua.





Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu