BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Rabu, 12 Ogos 2020

Bagaimana Jürgen Klopp mengubah Liverpool

 

Sebelum 2015, Liverpool merupakan sebuah kelab yang tenggelam timbul di persada peraduan bola sepak Inggeris dan Eropah. Sejarahnya gah, tetapi ketika itu seperti gergasi tidur yang terus menjadi bahan ketawa seterunya.


Kemudian hadir seorang jurulatih berbangsa Jerman dari Borussia Dortmund mengambil alih tampuk pemerintahan di Anfield, dan menggesa para penyokong berubah daripada peragu kepada percaya.


Lima tahun selepas itu, Jürgen Klopp membayar kepercayaan tidak berbelah bagi The Kop apabila membimbing anak buahnya menjulang Liga Juara-Juara Eropah, Piala Super UEFA, Piala Dunia Kelab FIFA dan akhirnya menamatkan penantian penuh seksa selama 30 tahun, kejayaan merangkul piala Liga Perdana Inggeris.


Hari ini, Liverpool telah menjadi kelab yang bernilai €1.9 bilion, hasil peningkatan 122% sejak hari pertama Klopp menandatangani perjanjian untuk memimpin The Reds pada 1 Oktober lima tahun lalu. Mereka menutup tahun kewangan 2019 dengan mencatat keuntungan (profit) €46 juta dan pendapatan (revenue) sebanyak €594 juta.


Kejayaan berganda 2019 juga membuka satu lagi lembaran sejarah apabila buat pertama kali Liverpool bekerjasama dengan Nike. Pengaruh syarikat pengeluar barangan sukan Amerika yang disokong para bintang sukan lain di bawah naungannya bakal memperluaskan lagi jenama Liverpool ke serata dunia.


Tidak keterlaluan untuk mengatakan segalanya kerana Klopp factor. Pengurus kelab bola sepak masa kini menggalas tanggungjawab penuh terhadap segenap aspek perkembangan pasukan khususnya. Dia beruntung kerana mempunyai bos yang memahami kehendaknya, pada masa sama, dia juga seorang yang tegas dan jelas dengan sasarannya.


Bagaimana Klopp membangkitkan kembali Liverpool sebagai gergasi Eropah yang digeruni, di dalam padang mahupun di luarnya? Banyak perkara yang kita boleh teladani daripada The Normal One ini.


1) Kebersamaan menyeluruh

Dalam bola sepak, kebersamaan antara setiap pemain amatlah penting. Klopp menerapkan konsep kebersamaan ini kepada spektrum yang lebih luas - seluruh anggota kelab. 


Langkah pertama apabila menggalas jawatan pengurus kelab, dia mengingati nama setiap 80 orang staf yang bekerja di belakang tabir menguruskan hal ehwal pemain, dan menjemput mereka dan pemain untuk duduk bersama dan memperkenalkan diri masing-masing. 


Dia membentuk sebuah keluarga besar yang saling memerlukan antara satu sama lain, tidak kira apa pun bangsa, agama, latar belakang dan pangkatnya.


Keharmonian dalam seluruh anggota Liverpool FC antara kunci utama kejayaan mereka.


2) Percaya kepada kebolehan orang lain

Walaupun Klopp ada kuasa besar dengan izin lembaga pengarah kelab, dia sedar yang kemampuannya terbatas. 


"Saya percaya kekuatan terhebat personaliti yang besar adalah dengan berada di sekeliling orang yang lebih hebat daripada diri anda dalam beberapa aspek."


Dia sentiasa didampingi oleh penolong jurulatih yang mahir dalam bidang masing-masing. 'The Eye', Peter Krawietz menjadi orang kanan Klopp sejak di Mainz lagi sebagai mata yang menganalisis permainan. Pada 2015, Klopp membawa masuk pakar kecergasan Andreas Kornmayer dan pakar nutrisi Mona Nemmer dari gergasi Jerman, Bayern Munich untuk membentuk pemain supaya serasi dengan sistem 'heavy metal football'nya dari teras. 


Kerana Klopp percaya bola sepak adalah sukan kompleks dan bukan sekadar bergantung kepada kaki yang bagus, tetapi lebih penting minda yang cemerlang - bermula daripada pemakanan yang tepat.


Klopp bersama barisan jurulatih yang menjadi tulang belakangnya.


3) Karakter terpuji

Liverpool adalah segalanya bagi Klopp, dan kerana itu dia tidak memilih pemain berdasarkan bakat semata-mata tetapi juga daripada peribadi mereka. 


Ketika mahu membeli pemain tengah Belanda, Giorginio Wijnaldum, Klopp menjemputnya datang ke rumah. Daripada bersembang tentang bola sepak, sebaliknya Klopp mahu berborak dengan Wijnaldum tentang bagaimana percutiannya yang baru sudah.


Pernah di berkata pada sebuah akhbar Jerman, "untuk memiliki seorang yang bodoh bersama anda hanya kerana dia boleh bermain bola sedikit lebih baik adalah sangat menjengkelkan."


Klopp mahu setiap orang di Liverpool membawa keperibadian yang disenangi semua.


4) Berminda penyelesai masalah

Klopp sentiasa mahu menggunakan teknologi canggih untuk memudahkan penerapan taktikal rumitnya kepada seluruh pasukan juga untuk memahami bola sepak dengan lebih baik.


Akal penyelesai masalahnya terlihat ketika satu rancangan televisyen pada 2005 apabila diminta mengulas persembahan pasukan kebangsaan Jerman. Dia terus bertanya sama ada mereka ada perisian yang membolehkannya melihat rakaman permainan dari pelbagai sudut dan dapat melukis anak panah atau tanda pada imej rakaman tersebut.


Ketika itu masih belum ada teknologi seperti yang kita dapat lihat hari ini. Jadi Klopp meyakinkan siaran televisyen tersebut untuk membangunkannya supaya dia juga dapat menggunakannya di Mainz, kelab yang dikendalikannya pada masa itu. Pemikirannya jauh di depan.


Hari pertama Klopp dilantik sebagai pengurus Liverpool pada 1 Oktober 2015.


7) Mental dan hati kental

Enam kali Klopp gagal di pentas final - tiga kali bersama Dortmund dan tiga kali ketika mengendali Liverpool. Kalah penalti kepada Manchester City di final Piala Liga, tiga bulan kemudian tewas kepada Sevilla di final Liga Europa pada 2016, dan gagal menundukkan Real Madrid di final Liga Juara-Juara 2018.


Daripada episod kegagalan itu, Klopp memperbaiki kelemahan diri dan pasukan sehingga akhirnya berjaya menjulang gelaran Eropah pertama dalam kariernya pada tahun berikutnya, 2019. Kejayaan demi kejayaan terus dilakar, hanya selepas lima tahun berusaha keras. 


Kekalahan membawa kesan yang besar bagi Klopp. Bukan untuk diratapi, tetapi sebagai pengajaran yang cukup berguna untuk mengorak langkah baharu yang lebih jitu.


Sentiasa bersemangat dan dahagakan kejayaan.


5) Berjiwa seni

Bola sepak adalah sebuah sukan yang penuh seni, tetapi hari ini seakan menjadi trend di mana banyak pasukan lebih menumpukan kemenangan semata-mata dan tidak kisah walaupun bermain buruk.


Kata Klopp, "Bola sepak adalah sebuah teater. Jika kita tidak bermain dengan permainan yang cantik, akhirnya akan ada dua orang penonton sahaja yang tinggal."


Dia tahu bahawa selain kemenangan demi kemenangan, penyokong membayar tiket dan akses siaran untuk menyaksikan persembahan yang menghiburkan. Kalau kalah, sekurang-kurangnya ada sedikit puas hati kerana pasukan kesayangan bermain cantik.

 



6) Merendah diri

Pada sidang media pertamanya, Klopp menegaskan bahawa dia hanya orang biasa, 'The Normal One.' Keperibadian rendah diri memberinya kredibiliti di mata para penyokong yang melihatnya sebagai orang yang hanya mahu bekerja dan tidak banyak omong kosong.


Klopp juga tidak pernah memandang rendah lawannya, walaupun berdepan dengan pasukan yang bergelut di zon penyingkiran. Dia sedar bahawa sepandai-pandai tupai melompat, ada hari akan jatuh ke tanah juga kalau leka.


Setiap kejayaan yang dicapai sentiasa ditujukan kepada seluruh staf yang bekerja di belakangnya. Sifatnya sehingga diteladani anak buahnya yang selalu dilihat membuat kenyataan yang tidak cakap besar dan berpijak di bumi nyata.


Klopp ketika memenangi anugerah Pengurus Terbaik Tahunan LMA baru-baru ini.


Pengendali berusia 53 tahun ini melihat bola sepak bukan sekadar sebuah sukan semata-mata, tetapi pentas untuk memanusiakan manusia.


Klopp membina semula Liverpool dari terasnya yang diasaskan oleh Bill Shankly berpuluh tahun lalu bahawa ia bukanlah sebuah entiti, tetapi sebuah komuniti di mana sekumpulan manusia dari pelbagai latar belakang bagai sebuah keluarga berkongsi satu hasrat, semangat dan keghairahan yang sama.


Sama ada anda penyokong Liverpool atau bukan, sukar untuk tidak mengagumi manusia ini.


*Sumber info: Youtube/Athletic Interest. Sumber gambar: Facebook & Twitter Liverpool FC

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu