BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Sabtu, 22 Ogos 2020

Begini nak kumpul duit untuk travel lepas pandemik



Lebih lima bulan kita tak dapat 'bergerak' ke mana-mana dek COVID-19, entah bila akan berakhir. Lebih-lebih lagi buat kaki kembara, gatal betul rasanya kaki itu nak berjalan menjelajah bumi ciptaan tuhan.

Nampaknya buat masa sekarang, cuti-cuti dalam negara yang paling sesuai. Negara kita Malaysia sendiri kaya khazanah alam semula jadi dan sejarah panjangnya yang tidak kurang menarik untuk dikunjungi dan dinikmati. 

Begitupun, ada juga yang lebih mengimpikan untuk menjelajah bahagian dunia yang lain. Tak salah berangan, yang salah adalah apabila tiada tindakan dibuat. Jadi daripada sekadar merenung jauh ke langit, mulakan perancangan anda supaya angan-angan anda menjadi nyata.

Ini beberapa tip kami anjurkan untuk anda mula mengumpul dana, moga-moga selepas berakhirnya musibah besar ini dapat terus berlepas ke destinasi impian kita.


1) Tetapkan perbelanjaan untuk kembara anda

Langkah pertama adalah tetapkan destinasi yang hendak dituju. Buat kajian menyeluruh tentang segala kos yang terlibat seperti penginapan, pengangkutan, makan minum, pakej lawatan dan lain-lain. 

Bila kira-kira atau budget sudah ditetapkan, barulah boleh perhalusi jangkaan perbelanjaan itu. Atur mengikut kepentingan, berdasarkan keperluan dan kehendak anda. Dahulukan yang mana mustahak, baru ambil kira perbelanjaan sampingan lain.

Kembali merentas masa lampau di Havana, Cuba.


2) Buat satu akaun khas untuk simpan duit kembara

Kena ada. Kalau simpan dalam tabung, senang pula tangan nak capai untuk dibelanjakan ke benda atau hal yang mengganggu matlamat anda untuk mengembara. Simpan di bank lebih selamat dan terhindar daripada dicabuli godaan lain.

Peruntukkan sebahagian daripada gaji anda setiap bulan untuk disimpan ke dalam akaun kembara tersebut. Kalau payah nak buat sendiri, boleh minta tolong bank tetapkan secara automatik perpindahan sebahagian wang daripada akaun pendapatan anda ke akaun kembara anda.

Melayan matahari terbenam di kepulauan Maldives.


3) Kenal pasti perbelanjaan rutin yang tidak perlu

Jika anda berdepan kesuntukan wang daripada gaji bulanan untuk disimpan sebahagian daripadanya ke dalam akaun kembara anda, perhalusi kembali tabiat perbelanjaan anda.

Mana yang tak penting, seperti langganan permainan video, belanja kecantikan, duit rokok, pembelian pakaian, snek dan sebagainya boleh dihentikan (seketika, atau selamanya). Kalau anda selalu makan di restoran dengan kawan-kawan setiap minggu, kurangkan ke sebulan sekali misalnya.

Kalau boleh masak dan makan di rumah. Tapi perbelanjaan barang dapur pun perlu cermat, jangan boros. Kalau selalu beli daging import, beralihlah ke daging tempatan contohnya.

Benda yang sudah ada, tak perlu beli lagi. Duitnya boleh digunakan untuk disimpan untuk merealisasikan impian kembara yang diidamkan.

Merentas ladang anggur di bukit-bukau Tuscany, Itali.

Pokoknya, kaji betul-betul destinasi anda dan disiplinkan diri untuk menyimpan wang mengikut perkiraan anda. Insyallah, dengan berkat ketekunan, usaha, pengorbanan dan semangat anda, segalanya dapat direalisasikan.

Bila tiba masanya segalanya ini berakhir, terbanglah dengan bebas ke mana sahaja dihajati. Begitupun, jangan terlalu suka. Tetap masih perlu berwaspada dan terus amalkan tabiat kebersihan diri.

Periksa dahulu bagaimana keadaannya di negara destinasi anda itu. Jika tak pasti dan tidak yakin dengan perkembangan tahap keselamatan dan kesihatannya, tolong elakkan. Laraskan ke destinasi lain, kalau gatal nak berjalan juga.

Selamat merancang!

Matahari terbit menyinari kota purba Macchu Picchu, Peru.

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu