BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Jumaat, 25 September 2020

Air lemon memang elok, tapi kalau diminum banyak sangat...


Ya, air lemon memang banyak manfaatnya. Ramai pakar dan selebriti mengesyorkan peminuman air lemon sebagai amalan untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat, dan menjadi trend apabila dikatakan mampu membantu dalam usaha menurunkan berat badan dan mengenyah toksik dalam tubuh.

Tapi seperti semua benda di dunia ini, harus berpada. Kadang-kadang ada orang yang terlalu obses untuk kurus minum air lemon sampai kembung perut. Apa sahaja pun kalau diambil atau dibuat secara berlebihan akan mendatangkan mudarat.

Ini saya kongsikan beberapa benda bahaya yang boleh berlaku apabila kita minum air limau lebih daripada yang sepatutnya.

1. Gigi boleh rosak


Memandangkan lemon adalah sangat berasid, pengambilan berlebihan boleh menghakis enamel gigi kita. 

Kalau gigih, minum dengan straw untuk elak asid lemon mengenai gigi. Juga elakkan terus gosok gigi lepas meminum air lemon. Imbangi dengan peminuman air kosong yang banyak untuk membilas sebarang unsur yang ada dalam mulut dan tubuh.


2. Perut boleh sakit


Walaupun ia boleh membantu penghadaman, pengambilan lemon terlalu banyak boleh menggalakkan masalah refluks gastroesophageal (GERD).

Ia dicetuskan oleh makanan berasid dan boleh mendatangkan pedih ulu hati, mual dan loya serta muntah.


3. Kulit lemon tempat bertandang pelbagai kuman


Selalunya kita mesti mahu perah dan rendamkan terus potongan lemon bersama kulitnya dalam gelas atau botol air kita. Sebab senang tak banyak kerja, atau mahu tunjuk pada orang yang kita sedang 'mengamalkan kehidupan sihat'.

Jangan malas dan jangan menunjuk, kerana ada kajian pada 2007 di mana kajian dibuat terhadap 76 sampel lemon daripada 21 restoran berbeza. Didapati, kebanyakan lemon mengandungi mikroorganisma termasuk yang boleh mendatangkan penyakit.

Jadi dinasihatkan supaya basuh bersih-bersih sebelum potong, perahlah lemon itu dan buang kulitnya.


4. Asid lemon boleh jadi punca atau terukkan lagi ulser dalam mulut


Ulser dalam mulut, atau dipanggil canker sore memang pedih. Walaupun dalam seminggu atau dua ia boleh hilang, meminum terlalu banyak air lemon boleh melanjutkan malah memburukkan keadaannya.

Bukan sahaja lemon, tetapi segala jenis buah-buahan citrus.


5. Kepala boleh jadi migrain


Walaupun belum ada lagi bukti kukuh, kajian awal mendapati lemon dan buah-buahan citrus boleh menjadi pencetus mingrain jika diambil berlebihan.

Menurut WebMD, ada benarnya kerana lemon tinggi kandungan tyramine - sejenis monoamine semula jadi yang sering dikaitkan dengan pening kepala.

Nak kurus bukanlah semudah togak bergelen air lemon. Pemakanan paling utama, dan bersenam hanya membantu melancarkan pemprosesan tubuh. Bukan boleh kurus sahaja, malah paling penting fizikal dan mental akan nikmati manfaatnya.

Ingat, berpada-padalah walaupun dalam menjalani kehidupan sihat. Jangan over. Rancak TV peduli.


*Sumber: WebMD, Insider


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu