Meskipun rezeki di dalam program hiburan, Big Stage tidak menyebelahi dirinya namun Amir Hasan tetap bersyukur kerana dapat peluang untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar Big Stage.
Menurut penyanyi yang berusia 24 tahun ini, momen paling manis sepanjang berada di dalam program tersebut sudah tentu semasa belajar bersama tenaga pengajar dan rakan-rakan.
"Saya rasa momen yang paling manis ialah, bila saya dapat masuk keluarga ini, bukan sahaja mengenali tenaga pengajar dan rakan-rakan malah kenal dengan semua krew produksi juga adalah satu momen yang indah, saya tak menjangka boleh jadi serapat ini dengan mereka semua," katanya.
Baginya menyertai Big Stage juga bukan sekadar pertandingan menyanyi malah program ini juga mengajarnya untuk berhadapan realiti sebagai anak seni.
Pada masa sama, Amir juga berkongsi bahawa dia sangat rapat dengan peserta yang popular dengan lagu Hantu atau Buaya, Nana Sheme.
"Saya rapat dengan semua peserta tapi saya selesa dengan Nana sebab dia jenis yang sangat chill, dan saya selalu berkongsi masalah dengannya," tambahnya.
Amir juga tidak menolak jika satu hari nanti dia berpeluang untuk merakamkan duet bersama penyanyi tersebut.