Tahun 2020 adalah seperti filem sci-fi seram kerana tanpa henti kita dikejutkan dengan berita buruk.
Kali ini, 380 ekor paus pandu terdampar di tepi pantai Macquarie Heads, Tasmania, Australia sejak Isnin, memecahkan rekod jumlah yang dicatat pada tahun 1996 iaitu 320 ekor paus terdampar di pantai Barat Australia.
Spesis paus pandu sering ditemui terdampar di tepi pantai secara berkumpulan dan sehingga kini, saintis masih mencari penjelasan bagaimana dan mengapa perkara itu boleh berlaku?
Namun, saintis mempunyai beberapa teori yang mampu menjelaskan kejadian aneh ini.
Yang pertama mengekori ikan yang menjadi sumber makanan mereka ke laut yang lebih cetek, sehingga tidak mampu berenang semula ke tengah laut yang lebih dalam.
Paus pandu merupakan haiwan sosial yang suka bergerak secara berkumpulan dan sangat rapat.
Yang kedua mungkin mengikuti isyarat yang dihantar oleh seekor paus yang sesat yang menyebabkan ratusan paus berenang ke tepi pantai.
Ikan paus berkomunikasi menggunakan gelombang bunyi atau pantulan sonar, jadi kemungkinan juga saintis percaya sonar dari kapal laut telah menggangu isyarat atau arahan sebenar yang diterima.
Bagaimanapun, paus pandu tidak dianggap sebagai spesis terancam. Menurut saintis, terdapat sekitar 200,000 hingga sejuta paus pandu di dunia.
Bagaimana paus diselamatkan?
Foto: Bilal Rashid/Reuters |
Pasukan penyelamat yang terdiri daripada 60 orang menggunakan tali atau sling bersama alat lain untuk menarik pandu itu semula ke laut.
Ia bukan satu perkara yang mudah kerana berat paus pandu ini boleh mencecah tiga tan dan bersaiz sehingga tujuh meter.
Apabila badan paus sudah tenggelam di dalam air, para penyelamat akan membimbingnya masuk ke dalam air yang lebih dalam.
Foto: Sebastien Gabriel |
Cabaran pasukan penyelamat adalah ada beberapa ikan paus yang berjaya diselamatkan ditolak arus dan terdampar semula ke pantai.
Isu lain adalah bagi memikirkan bagaimana cara untuk menyelesaikan ratusan bangkai paus yang tidak dapat diselamatkan.
Apabila kes sebegini berlaku sebelum ini, proses pembersihan dilakukan dengan menanam bangkai di pantai atau ditarik balik ke dalam laut.
Sumber foto: Bilal Rashid/Reuters