BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Sabtu, 26 September 2020

Perlu ke anak kecil pakai topeng muka?


Perlahan-lahan, orang kembali menjalani kehidupan seperti biasa. Pusat beli belah dan kedai-kedai makan terutamanya, berpusu-pusu orang seperti tidak ada apa-apa berlaku. COVID-19 masih belum berakhir pada hakikatnya.

Keadaan pula mula kembali membimbangkan, kes semakin meningkat semakin hari. Itu pun masih ada lagi orang yang tidak memakai topeng muka, dan tidak kurang juga yang membawa anak kecil bersama berasak di tempat-tempat awam.

Selain pemakaian topeng, jarak fizikal juga harus dijaga. Tapi bila di tempat yang penuh dengan orang di mana saranan penjarakan itu 'terpaksa' dilanggar, topeng adalah perisai terakhir. Ketika ibu bapa dilihat lengkap bertopeng, anak mereka pula tidak dipakaikan.

Anak-anak kecil juga manusia, dan mereka juga berpotensi untuk dijangkiti virus COVID-19 seperti orang dewasa. Tapi saya faham, masih ada yang keliru sama ada perlu atau tidak anak kecil memakai atau dipakaikan topeng.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), anak kecil berusia dua tahun ke atas sahaja perlu memakai topeng. Bayi di bawah usia tersebut tidak digalakkan kerana dikhuatiri akan lemas.


Pemakaian topeng ini sangat penting, dan cara pakainya juga kena betul. Kalau tak faham lagi kenapa, biar saya jelaskan.

Wabak COVID-19 ini tersebar melalui cecair respiratori, atau dalam bahasa Melayunya, pernafasan. Cecair itu bukan sahaja air liur atau hingus, tetapi juga wap air yang disedut masuk atau dihembus keluar melalui hidung dan mulut kita.

Virus ini apabila hinggap pada seseorang, ia akan menunjukkan simptom sekurang-kurangnya selepas dua minggu. Sementara itu, kita tidak tahu sama ada kita sudah dijangkiti atau tidak. Jadi, pemakaian topeng dapat mengelakkan cecair pernafasan itu tersebar luas, atau unsur dari luar masuk ke pernafasan kita.

Anak kecil khususnya bayi apatah lagi, lebih berisiko tinggi daripada dewasa untuk dijangkiti virus COVID-19 kerana sistem pertahanan diri mereka masih belum benar-benar terbentuk. Maka mereka perlu perlindungan yang lebih.

Sebentar. Mereka perlukan lebih perlindungan, tapi pada masa sama mereka tidak digalakkan pakai topeng muka kerana takut lemas. Habis macam mana?

Sekiranya kalian para ibu bapa terpaksa membawa anak anda keluar, disarankan supaya untuk menutup bakul pembawa bayi atau kereta sorong bayi anda dengan selimut atau apa-apa yang sesuai. Sekurang-kurangnya, ia dapat melindungi bayi anda daripada unsur luar ketika mereka juga boleh bernafas melaluinya dengan selesa. 

Anak-anak atas usia dua tahun pula tidak digalakkan memakai topeng jenis N95 atau topeng bedah, kerana ia adalah bekalan kritikal dan lebih diperlukan oleh para petugas bahagian hadapan. Lagipun, ia dibuat pada saiz dewasa dan tak sesuai untuk budak-budak.


Satu cara untuk menggalakkan anak-anak memakai topeng adalah membuat topeng kain dan hiaskan ikut kreativiti. Lukislah grafik seperti mulut jerung ke, senyuman badut ke, apa sahaja yang disukai oleh anak-anak kita.

Bila dah pakai topeng kain, ia perlu dibasuh setiap hari. Jadi buatlah dua atau tiga helai topeng yang pelbagai rupa supaya bukan sahaja anak-anak, tetapi kita pun boleh tumpang seronok memakainya.

Nak lagi selamat, tak perlulah keluar rumah bawa budak kalau tak ada apa-apa hal mustahak. Sesungguhnya tempat paling selamat adalah di rumah - tak payah penjarakan fizikal, tak perlu pakai topeng.

*Sumber: Insider

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu