BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Rabu, 9 September 2020

#RockersKITA: Bagaimana Skatanixs kekal bersama selepas 21 tahun?



Band punk rock / skatepunk, Skatanixs sudah 21 tahun ditubuhkan, masih aktif dan tiada bayangan untuk slow down pembabitan mereka dalam muzik underground dan juga tempo muzik mereka.

Tidak pernah meletakkan sasaran untuk berjaya dalam industri muzik, Skatanixs ditubuhkan hanya sekadar untuk memuaskan nafsu masing-masing bermain muzik punk rock yang agak laju, tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak.

Bermula di Pulau Pinang pada 1999, Skatanixs terus kekal dengan dua pengasasnya, Ruhaifi dan Ian, untuk terus menghasilkan karya di platform digital, selain mengeluarkan produk muzik fizikal yang menjadi tradisi band-band underground sejak dulu lagi.


Antara momen terawal Skatanixs di Penang, dengan Alwi sebagai pemain bass. Cap tarikh itu tak betul.

Skatanixs adalah singkatan nama yang diambil daripada perkataan 'Church of Skatan', sebuah skate shop di Amerika Syarikat, dan tiada kaitan dengan genre muzik ska kerana kesemua ahli kumpulan bermain skateboard.

Mereka mengeluarkan demo pertama mereka pada 1999 dalam bentuk kaset yang dirakam sendiri di sebuah akademi muzik, di mana bapa kepada Ian menjadi salah seorang pengarah di situ.

Kualiti rakaman sudah pasti teruk, dengan bajet yang tak seberapa dan skil bermain instrument yang lemah.


Line-up Skatanxis Skatepunk pada 2013 semasa Volcom Wild in the Parks di Putrajaya.

Penghijrahan Ruhaifi ke Kuala Lumpur untuk menyambung pelajaran pada awal 2000-an, memberi peluang kepada Skatanixs untuk berkembang dengan ahli-ahli baharu, terdiri daripada pelajar Malaysia-Germany Institute di Bangi.

Skatanixs mengeluarkan satu lagi demo berjudul Damaged 23 dalam bentuk CD pada tahun 2003 sebelum EP Skatepunk pada 2008.

Skatepunk melonjak nama Skatanixs dengan bantuan platform online yang menjadi tumpuan orang muda mencari rakan dan muzik baharu selain apa yang dihidangkan label mainstream.


Barisan terkini Skatanixs, (dari kiri) Ruhaifi, Arn, Adib dan Ian.
Arn kini berehat seketika untuk memberi fokus kepada keluarganya.

Platform online seperti MySpace pada awal millenium memudahkan mereka meraih peminat di Singapura dan Indonesia.

Dari situ mereka membina jaringan persahabatan dengan peminat muzik underground yang lain dan dijemput untuk mengadakan persembahan di Singapura dan Jakarta pada 2008 dan 2009.

Walaupun Ian tidak terlibat dalam rakaman Skatepunk, beberapa beat asal lagu dalam EP tersebut ditulis olehnya.

Pada ketika itu, beberapa pertukaran dibuat dengan Arn mengambil tempat Ian bermain drum, manakala Ian membantu Ruhaifi di bahagian hadapan band.


Skatanixs di Jakarta pada 2009 dibantu oleh Edd dari Weotskam kerana bassist asal tak dapat tour bersama.

Bertukar-tukar line-up band, tidak menghalang Skatanixs terus berkarya sehingga sekarang.

Perancangan seterusnya adalah untuk mengadakan persembahan di Bali, Yogyakarta dan Bandung, namun pandemik menghalang hasrat untuk merealisasikan hasrat itu.

Mengikut data pada pengikut Instagram Skatanixs, mereka mempunyai lebih ramai followers di negara jiran berbanding tanah air sendiri.

57% daripada pengikut mereka adalah dari Indonesia, berbanding 38% di Malaysia.


Skatanixs di Singapura pada 2008, Ian bermain bass pada masa itu.
Kemungkinan besar genre pop punk atau label skatepunk yang disandarkan mereka ini tidak begitu besar di Malaysia.

Penstriman muzik seperti Bandcamp dan Spotify pula membantu Skatanixs memasarkan muzik mereka di seluruh dunia dengan tidak mengharapkan sokongan dari orang tempatan, serta major label.

Skatanixs bukan untuk semua tetapi insan yang terpilih sahaja dan terus kekal begitu.

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu