BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Rabu, 9 September 2020

Adakah benar French fries datangnya dari Perancis?


Kentang goreng, makanan ringan paling ringkas dan antara yang paling popular di seluruh dunia. Selalu dipadankan dengan burger, dimakan bersama sos atau begitu sahaja.

Sejak entah bila ia dipanggil French fries, namun itulah panggilannya yang paling lazim. Namun adakah French fries memang berasal daripada Perancis berdasarkan namanya itu?

Siapa yang sebenarnya memperkenalkan makanan ini tidak dapat benar-benar disahkan, kerana ada banyak teori mengenainya. Ia juga berkait dengan kedatangan tanaman kentang ke bumi Eropah.

Asalnya kentang adalah tanaman lazim di Amerika Selatan. Pada 1537 ketika Sepanyol datang dan meneroka bumi Colombia, mereka menemui kentang di sebuah perkampungan yang telah ditinggalkan penduduknya. 20 tahun kemudian, kentang dibawa pulang ke Eropah dan penanamannya mula terkembang ke negara-negara sekitar.

Raja Prussia, Frederick The Great, memeriksa penanaman awal kentang. Lukisan oleh Robert Warthmüller, 1886. (Sumber: Wikipedia)

Teori pertama mengatakan bahawa orang Belgium yang pertama memotong kentang secara memanjang dan menggorengnya sebelum dihidang seawal kurun ke-17. Selalunya mereka menggoreng ikan-ikan kecil sebagai makanan ruji, namun ketika musim sejuk di mana sungai-sungai beku, kentang dijadikan ganti.

Sementara dakwaan orang Perancis pula, kentang goreng dicipta oleh mereka dan orang yang bertanggungjawab memperkenalkannya kepada dunia adalah seorang pegawai perubatan tentera Perancis bernama Antoine-Augustine Parmentier.

Parmentier memegang sejambak tanaman Dunia Baharu. Lukisan oleh François Dumont, 1812. (Sumber: Wikipedia)

Ketika Perang Tujuh Tahun (1756-1763), Parmentier menjadi tawanan tentera Prussia. Semasa dalam tahanannya, dia diberi makan kentang. Pada zaman itu di Perancis, kentang hanya menjadi makanan babi dan tidak dimakan oleh manusia kerana orang Perancis percaya ia membawa penyakit kusta.

Namun ia didapati sebaliknya oleh Parmentier. Setamatnya perang, dia kembali ke Perancis dan mula mempromosikan kentang sebagai sumber makanan baharu yang berpotensi. Pada 1772, Fakulti Perubatan Paris mengesahkan bahawa kentang boleh dimakan, begitupun Parmentier masih mendapat tentangan khalayak. Malah dia tidak dibenarkan menanam kentang di kebunnya sendiri.

Dia terus menjalankan promosi agresif, dengan mengadakan majlis makan malam dengan menjemput orang-orang kenamaan termasuk Benjamin Franklin,  Antoine Lavoisier dan juga Raja Perancis, Louis XVI serta isterinya, Permaisuri Mary Antoinette.

Ini dia deep fry, cara yang dipelopori Perancis.

Akhirnya, masalah kebuluran pada 1785 membuatkan khalayak tiada pilihan selain memakan kentang dan terus menjadi popular. Selepas itu mereka mula menanam kentang dalam skala yang besar termasuk di taman diraja Tuileries di mana ia ditukar menjadi ladang kentang.

Lama kelamaan, dipercayai orang Perancis meneroka pelbagai cara menghidangkan kentang termasuk memotong halus dan menggorengnya, yang mereka panggil frite, yang bermaksud 'goreng lama' (deep fry). Cara itu kemudian tersebar bersama penjelajahan dan penjajahan Perancis ke serata dunia khususnya ke benua Amerika.

Hidangan tersebut sampai ke White House, apabila suatu hari pada 1802, Presiden Amerika Syarikat ketiga, Thomas Jefferson meminta chefnya supaya membuat hidangan kentang 'cara Perancis' untuk satu majlis parti makan malam. Cara Perancis yang dimaksudkan itu adalah 'dipotong memanjang halus dan digoreng mentah'.

Ia semakin berkembang di Amerika dengan nama French fried potatoes. Lama kelamaan, rasanya orang semakin malas nak sebut panjang-panjang, maka dipanggil sahaja French fries.

*Sumber: Today I Found Out, Wikipedia

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu