BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Khamis, 8 Oktober 2020

Bercakap mengenai payudara amat penting kerana...



Orang dulu-dulu menganggap bercakap mengenai tubuh wanita, terutamanya di bahagian dada, satu yang memalukan, pantang larang ataupun tabu. Tetapi kini, berbincang mengenai payudara amat penting kerana boleh menyelamatkan nyawa.

Jangan salah faham pula, kerana bukan sekadar bercakap bukan-bukan, namun, bercakap dari segi kesihatan payudara boleh menghindari diri sendiri dan orang yang tersayang daripada menjadi mangsa kanser payudara.

Oleh sebab wujudnya teknologi dan inovasi kesihatan moden yang mampu memulihkan pesakit kanser payudara peringkat awal, ia adalah penting untuk masyarakat menormalkan kesedaran kesihatan payudara.

Ini menyebabkan bercakap tentang payudara adalah penting.

Kanser payudara bukan sahaja menyerang golongan wanita, tetapi juga lelaki

Kanser payudara tak mengenal jantina, umur atau bangsa.

Ketua Pusat Pemulihan Kanser Hopsital Tung Shin, Dr Tan Meng Kuan memberitahu kanser payudara adalah kanser yang paling sering berlaku di Malaysia.

Menurut kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 17.3 peratus daripada jumlah kes kanser di dalam negara adalah kanser payudara.

Foto: Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa, WHO


Anda boleh buat ujian di rumah


Ujian bagi kanser payudara tidak perlu dilakukan di hospital, dan setiap individu, terutamanya golongan wanita yang lebih mudah dijangkiti kanser payudara, harus belajar cara-cara untuk menguji diri sendiri di rumah.

Pelakon, Sharifah Amani yang mempunyai sejarah keluarga kanser payudara berkata ia sangat penting untuk masyarakat mempelajari ujian kendiri bagi mengesan kanser payudara di peringkat awal, selain meningkatkan kesedaran tentang penyakit itu agar dapat mencegahnya.

"Bagi saya, topik kanser payudara ni sangat-sangat penting kerana kadang-kadang dalam masyarakat kita, kita menjadi segan, segan silu nak bercakap pasal payudara, macam mana kita nak jaga, macam mana kita nak check diri sendiri dan kalau kita jumpa sesuatu, kepada siapa yang kita harus mendapatkan bantuan lanjut," ujar Sharifah.

Dari kiri: Sangeetha Krishnasamy dan Sharifah Amani, Min Lim (Pengasas Kantoi), dan Tong Bingyu di pelancaran Kantoi.

Sharifah ditemui di pelancaran Kantoi, jenama beg tote yang dihasilkan bukan berasaskan keuntungan.

Kantoi menghasilkan beg tote yang dicetak mesej-mesej penting dengan nada yang lucu dan sarkastik, bagi mengetengahkan isu-isu yang memerlukan kesedaran awam.

Hasil jualan daripada beg akan digunakan untuk tujuan amal.

Beg tote Kantoi sempena bulan Oktober, iaitu bulan kesedaran kanser payudara. 

Peringkat awal kanser payudara tidak sakit

Ramai di antara kita yang masih tidak jelas tentang gejala-gejala kanser, kerana setiap individu adalah berbeza. Namun, ramai pesakit kanser payudara di peringkat awal tidak mengalami kesakitan.

Sangeetha Krishnasamy, yang telah hilang seorang rakan sekerja akibat kanser payudara berkata, kawannya itu sendiri tidak rasa apa-apa sakit di peringkat awal, namun ketumbuhan itu terus membesar dan kemudian sampai ke peringkat yang tidak dapat dirawat lagi.


"Pada masa dia diagnose dah lambat sangat, sebab kadang-kadang ni, the fear, mereka takut apa prosedur, apa proses rawatan."

"Kadang-kadang walaupun mereka buat self exam, mereka rasa ada lump, sebab tak sakit, mereka kata oh tiada apa, boleh ignore, benda tu boleh hilang." 

"Tetapi sebenarnya tak, sebab kawan saya yang meninggal tu dia tak sakit, in the beginning tiada apa.” kata Sangeetha.

"Feel for lumps, save your bumps" atau "Awas ketumbuhan, selamatkan kewanitaan"

Hampir 100% kanser payudara boleh pulih di peringkat awal

Dr Tan yang turut menghadiri pelancaran Kantoi menjelaskan, kanser payudara di peringkat kosong (peringkat paling awal), adalah 100 peratus boleh pulih, manakala kanser di peringkat satu pula adalah hampir seratus peratus boleh pulih.

"Ia menjadi isu besar kerana pada tahun 2020, kita masih lagi melihat pesakit yang datang untuk mendapat rawatan di peringkat lewat." 

"Jika kita boleh mendapat pesakit yang datang di peringkat kosong atau peringkat satu, kebanyakan mereka boleh pulih sepenuhnya, payudara mereka boleh diselamatkan, dan mereka boleh kembali hidup seperti normal," keluh Dr Tan.

Kesihatan payudara bukan sahaja penting bagi kejelitaan dan kewanitaan, tetapi juga penting kerana kanser payudara adalah kanser yang membunuh. 

Anda atau isteri anda juga tidak ingin kehilangan satu payudara, bukan? 

Uji diri anda, sekarang!


Foto Cover: Catalin Pateo @ Unsplash


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu